Isnin, 24 Ogos 2009

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir: ‘Menang 1 undi tak apa’

MYMETRO


BUKIT MERTAJAM: “Menang satu undi pun tak apa asalkan Barisan Nasional (BN). Kita akan hadiahkan kemenangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengarah Jentera BN bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, berkata kemenangan calon BN, Rohaizat Othman, 38, dihadiahkan kepada dua pemimpin tertinggi negara itu kerana dalam enam pilihan raya kecil sebelum ini, BN hanya menang di Batang Ai, Sarawak saja.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di DUN berkenaan terutama pengundi di atas pagar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih calon Pas menjadi wakil rakyat mereka.

Beliau berkata, ini kerana wakil rakyat dari Pas (Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman) yang menjadi wakil rakyat sejak tiga penggal lalu gagal membawa pembangunan.

“Pengundi hanya ada 48 jam sebelum hari pengundian Selasa ini dan ia harus digunakan mereka untuk berfikir.

“Saya berjanji selaku Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang akan melaksanakan permintaaan mereka yang munasabah sekiranya BN menang. Ini janji saya kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya yakin dan optimis terhadap peluang Rohaizat untuk membantu BN merampas kubu kuat Pas berdasarkan sokongan pengundi yang jitu kepada BN selepas mendengar penerangan daripada pemimpin BN.

Tiada ulasan: