Khamis, 20 Ogos 2009

Pas cabar media arus perdana

UTUSAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM - Pas mencabar media arus perdana dedahkan klip video sebenar yang mengandungi kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyatakan 'Ahli UMNO tidak akan masuk syurga'.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, ini memandangkan Menteri Besar Kelantan itu telah pun menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Jika mereka jujur, sila dedahkan klip video itu. Lainlah kalau pihak terbabit berniat membina ikon kebencian ke atas tokoh agama Kelantan itu.

"Saya dimaklumkan juga bahawa Tuan Guru Nik Aziz mahu menyaman media yang berkenaan," katanya kepada pemberita di Markas Besar Pas di sini hari ini.

Semalam, Nik Aziz menjelaskan beliau tidak bermaksud anggota UMNO tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata kelmarin.

Beliau menafikan ada menyebut anggota UMNO tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.

"Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli UMNO. Ahli UMNO dan penyokong UMNO lain, dua perkataan berbeza," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berkata, Pas sememangnya mengamalkan sikap mesra terhadap para wartawan serta menyanjungi peranan mereka.

Namun begitu, menurutnya, apa yang berlaku berhubung isu tersebut adalah kes spesifik.

Tiada ulasan: