BERNAMA
SERI MANJUNG: Kedudukan Datuk R.Ganesan sama ada masih sah sebagai Speaker atau sebaliknya ditentukan oleh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bukan ditentukan oleh pembangkang, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata berkata pelantikan seorang Speaker dibuat menerusi persidangan DUN, maka kedudukan Ganesan sama ada masih sah sebagai Speaker atau sebaliknya juga perlu dilakukan menerusi kaedah yang yang sama.
"Sama ada Ganesan masih sah sebagai Speaker dan sebagainya adalah ditentukan oleh sidang DUN kerana yang melantik seorang Speaker bukan (Datuk Seri Mohammad) Nizar (Jamaluddin), (Datuk) Ngeh (Koo Ham) atau Nga (Kor Ming)...yang melantik Speaker adalah sidang DUN, jadi biarlah sidang DUN yang tentukan sama ada masih sah atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembangkang yang mempersoal status Ganesan sebagai Speaker apabila mereka mendapatinya gagal melepaskan jawatan sebagai peguam sehingga 11 Ogos lepas.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakili pembangkang turut menggesa segala kemudahan yang diberikan kepada Ganesan sebagai Speaker DUN Perak ditarik balik serta merta kerana beliau bukan lagi Speaker yang sah berikutan kegagalan melepaskan jawatannya sebagai peguam.
Katanya mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak di bawah Artikel 36A (5) sesiapa yang dilantik menjadi Speaker statusnya (dalam organisasi, perniagaan dan sebagainya) akan gugur setelah tiga bulan dari tarikh beliau dilantik.
Mohammad Nizar juga mendakwa mengikut surat yang ditandatangani oleh pegawai Majlis Peguam Malaysia (MPM), syarikat guaman Ganesan yang beralamat di 8A, Medan Istana 1, Wisma NUPW, Bandar Ipoh Raya di sini juga masih aktif.
Zambry berkata sekiranya pembangkang tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker, mereka tidak perlu memanggil sidang media dan membuat pelbagai cadangan kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).
Pakatan pembangkang tidak tahu di mana pendirian mereka malah kenyataan yang dibuat apabila mempersoal status jawatan Ganesan sebagai Speaker DUN juga mengelirukan diri mereka sendiri, katanya.
"Mereka kata tidak mengiktiraf Ganesan (sebagai Speaker), di sebelah lain kata Ganesan bukan lagi Speaker yang sah. Ini kerja macam orang gila. Ini semua permainan politik dan mereka sebenarnya tidak tahu di mana pendirian mereka dan ia mengelirukan diri mereka sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Zambry berkata isu yang ditimbulkan oleh pembangkang itu dianggap selesai apabila Ganesan telah membuat kenyataan media bahawa beliau telah tidak menjalankan tugasan sebagai peguam sejak 6 Ogos lepas iaitu sehari sebelum genap tiga bulan beliau menjalankan tugas Speaker.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan Ganesan juga mempunyai surat yang dihantar oleh MPM bertarikh 20 Ogos yang mengesahkan beliau sudah tidak aktif dalam kerjaya peguam dan pejabatnya telah ditutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan