Ahad, 19 Julai 2009

Tetap timbang buka pusat sembelih babi

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Cadangan membuka pusat penyembelihan babi di Kampung Sungai Toh Pawang, Gurun tetap diteruskan jika laporan jawatankuasa teknikal mendapati ia sesuai meskipun dibantah penduduk setempat.

Perkara itu dinyatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Katanya, keutamaan kerajaan negeri adalah tapak pembinaan tersebut mesti bersifat mesra alam dan memenuhi syarat teknikal yang dinilai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita masih menunggu laporan dari jawatankuasa teknikal ini tetapi akan turut melihat kepada situasi penduduk di kawasan terbabit.

"Kedua-dua aspek terbabit penting dan kita perlu adil kepada semua pihak termasuk kepada keperluan mereka yang makan daging haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Lebih 100 penduduk Kampung Sungai Toh Pawang semalam yang berhimpun secara aman meminta kerajaan negeri membatalkan hasrat membuka rumah penyembelihan babi di kampung itu.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Mohd. Zahir Hassan, 40, berkata, kerajaan negeri harus berunding dengan penduduk terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek tersebut.

Menurutnya, maklum balas masyarakat tempatan penting kerana mereka merupakan golongan yang terpaksa menghadapi kesannya jika projek itu dilaksanakan.

Cadangan untuk membina pusat penyembelihan babi di kawasan itu adalah bagi menggantikan tapak tidak berlesen yang dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Kampung Berjaya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, lokasi baru pusat penyembelihan babi yang dicadangkan di Kampung Cina, Pendang dekat sini turut dibantah penduduk dan ditolak oleh Majlis Daerah Pendang kerana didapati tidak bersesuaian.

Tiada ulasan: