Isnin, 20 Julai 2009

Shafie: Jangan hapuskan ISA, hanya ubah suai

UTUSAN ONLINE


LENGGONG - Jangan hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia masih diperlukan untuk menangani keadaan-keadaan tertentu di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang harus dilakukan kerajaan adalah membuat pengubahsuaian bagi membolehkannya diterima oleh semua pihak.

''Saya berpendapat, ia perlu dikemaskini tetapi jangan dihapuskan. Kerajaan perlu ubah suai ISA mengikut keadaan semasa.

''Di negara-negara lain pun, kalau tidak ada langkah-langkah pencegahan seperti ini (ISA) akan timbul masalah, contoh terdekat ialah jiran kita Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Kompleks Komuniti Desa (KKD) di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pelaksanaan ISA bukan bermakna kerajaan bebas bertindak apa sahaja tetapi setiap tindakan tersebut masih perlu berlandaskan undang-undang.

''Apa yang penting adalah memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan akta ini tidak harus wujud keraguan atau penyelewengan," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng meninggalkan MCA untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) katanya, ia tidak menjejaskan kekuatan Barisan Nasional (BN) mahu pun UMNO.

''Tidak jadi masalah dengan kita, yang penting bagi kita adakah yang diperjuangkan oleh PKR itu selari dengan jiwa pemimpin MCA ini (Jui Meng).

''Kalau kita lihat, pertelingkahan dalam parti tidak seharusnya mendorong kita keluar parti. Ini (keluar masuk parti) bukan satu perkara baru, biasa dalam politik," katanya.

Tiada ulasan: