Sabtu, 21 Mac 2009

Wartawan kena samun, dipukul 'mat rempit'

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR – Seorang wartawan Kosmo! bukan sahaja disamun, malah turut dipukul dengan kunci tayar motosikal oleh tiga ‘mat rempit’ dalam kejadian berhampiran gelanggang badminton dekat Cheras di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, mangsa Nuzulsham Shamsuddin, 24, sebelum itu minum bersama rakannya di sebuah restoran di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras.

Sewaktu perjalanan pulang ke rumah, meter penunjuk suhu enjin kereta jenis Hyundai Atos yang dipandunya berseorangan naik mendadak menyebabkan beliau memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

Kemudian, datang tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an menyapanya sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan segala barang berharga yang dimiliki.

“Salah seorang daripada suspek merampas beg galas dan saya cuba menghalangnya, namun dua lagi suspek memegang dari belakang.

“Sewaktu sedang cuba mempertahankan diri, salah seorang daripada mereka memukul lengan kanan saya dengan kunci tayar motosikal menyebabkan saya meraung kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek itu kemudian bertindak lebih agresif dengan menumbuk muka mangsa sehingga bengkak dan memecahkan cermin hadapan kereta sebelum melarikan diri.

Mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum membuat laporan di Balai Polis, Pudu setelah meminta bantuan seorang rakan.

“Akibat kejadian itu, saya kehilangan sebuah telefon bimbit, syiling serta mengalami kerugian hampir RM300. Namun, saya bersyukur kerana kereta dan dompet saya tidak dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Tiada ulasan: