Sabtu, 21 Mac 2009

Nasib Elizabeth diumum esok: MB

SINAR HARIAN


KUALA SELANGOR- Status terkini kedudukan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hanya akan ditentukan selepas perbincangan rasmi dibuat esok.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan lebih lanjut mengenai masa depan dan peranan Exco berkenaan dalam pimpinan kerajaan negeri akan dibuat sebelum keputusan secara rasmi diumumkan.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan ADUN Bukit Lanjan itu bagi menggelakkan sebarang spekulasi timbul ketika ditemui Sinar Harian sempena Sambutan Satu Tahun Pentadbiran Kerajaan Baru Negeri Selangor di sini, semalam.

Sementara itu, Khalid juga tidak menghalang siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas ke atas Keupayaan, Kebertanggung-jawaban dan Ketelusan (Selcat) terhadap kes yang dirujuk termasuk isu Lembu, Lexus dan pasir.

“Saya sedia hadir sekiranya dipanggil oleh Selcat bagi memberi penjelasan beberapa isu yang berkaitan bagi membolehkan rakyat tahu perkara sebenar dan tujuan pimpinan rakyat terhadap isu yang dibangkitkan itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian mengenai siasatan Selcat terhadap kes yang dirujuk termasuk isu Lembu, Lexus dan pasir.

“Selcat yang dipengerusikan Speaker itu berhak memanggil sesiapa sahaja untuk memberi penjelasan terhadap isu termasuk saya sebagai Menteri Besar dan mesyuarat akan dimulakan dengan isu Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada 23 Mac ini,” katanya.

Terdahulu,isu Lembu, Lexus dan pasir yang melibatkan adik Abdul Khalid juga tidak terlepas daripada siasatan sekiranya fail yang berkaitan kes terbabit dirujuk kepada Selcat.

Tiada ulasan: