JERANTUT: Seorang pengusaha pusat inap terapung Kampung Tempan berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini, Adenan Nipah, 70, mengalami kerugian apabila sebahagian ternakan ikan sangkar dihanyutkan banjir kelmarin.
Adenan antara pengusaha di Hulu Tembeling yang merintis pusat inap terapung ‘De Tempan’ di Sungai Tembeling terletak berdekatan Kampung Pagi juga berdepan kesusahan untuk membaik pulih keadaan rakitnya yang rosak berikutan dilanda kayu balak hanyut dan timbunan reba semasa kejadian tersebut.
“Hujan lebat selama sejak empat hari lalu sehingga ini air sungai masih melimpah dan arus deras menyebabkan sebahagian ternakan ikan patin, ikan tilapia dan ikan baung dihanyutkan air.
“Kejadian ini akibat sangkar ikan dilanggar kayu balak hanyut dan timbunan ranting kayu yang besar juga menyebabkan sebahagian lantai pusat inap ini rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Tempan dekat sini semalam.
Menurut Adenan, ketika kejadian, arus Sungai Tembeling sangat deras sehingga mengalih kedudukan pusat inapnya walaupun ditambat dengan kukuh pada beberapa batang pokok di daratan.
“Saya bersama anak lelaki bergegas keluar apabila mendengar bunyi hentakan kayu dan ranting pokok pada kediaman ini dan segera mengalihkan beberapa buah sangkar ke kawasan yang selamat dari arus kuat.
“Sebahagian sangkar rosak dan banyak ternakan sebagai sumber pasaran dan makanan bagi pengunjung di sini terlepas dalam arus sungai,” katanya.
Adenan yang mula mengusahakan pusat inap De Tempan kira-kira 10 tahun lalu berkata, semasa kejadian itu seramai lima orang pelawat tempatan menginap di rakit itu selama dua hari.
“Pelawat singgah dan bermalam di sini dikenakan bayaran RM150 untuk kemudahan penginapan, makanan berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman, aktiviti memancing dan pengembaraan hutan.
“Saya perlu segera membaik pulih pusat inap ini termasuk sangkar ikan selepas banjir, tetapi berdepan kekurangan wang untuk perbelanjaan peralatan berikutan sudah lebih setahun kehilangan pendapatan akibat ancaman pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan