Selasa, 30 Mac 2021

Mayat dibungkus kanvas, kain ditemui

BH ONLINE
Orang awam digemparkan dengan penemuan mayat dalam bungkusan kanvas, selain bangkai ayam berdekatan mayat itu di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di KM 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar. - Foto Ihsan pembaca
Orang awam digemparkan dengan penemuan mayat dalam bungkusan kanvas, selain bangkai ayam berdekatan mayat itu di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di KM 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar. - Foto Ihsan pembaca

IPOH: Orang awam digemparkan dengan penemuan mayat dalam bungkusan kanvas, selain bangkai ayam berdekatan mayat itu di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di KM 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau, di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat dipercayai lelaki tempatan yang identitinya belum dikenal pasti itu kira-kira jam 10.15 pagi.

"Mangsa dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 40-an berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri dan disyaki meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 36 jam.

"Selain itu, seekor ayam yang sudah mati turut ditemui berhampiran mayat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, ketika ditemui mayat mangsa berkemeja dan berseluar pendek didapati mempunyai kesan luka pada bahagian kanan kepalanya.

Anuar berkata, mangsa yang ditemui di lokasi yang jauh dari kawasan kejiranan dan laluan utama daripada Gerik ke Kuala Kangsar itu, dipercayai mati di tempat lain sebelum ditinggalkan di kawasan terbabit.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini.

"Semakan terhadap laporan orang hilang akan dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan siasatan lanjut sedang dijalankan berdasarkan bukti diperoleh di tempat kejadian. - BERNAMA

Tiada ulasan: