REMBAU: Seekor harimau kumbang jantan seberat 52 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Solok Baing, Kendong, dekat sini, pada Rabu lalu.
Pengarah PERHILITAN negeri, Wan Mat Wan Harun berkata perangkap tersebut dipasang sejak 15 Januari lalu, susulan aduan daripada penduduk kampung mengenai harimau kumbang jantan itu yang sering berkeliaran di sekitar kampung tersebut.
"Harimau kumbang berkenaan memasuki perangkap pada jam 9.30 pagi. Sebaik menerima maklumat itu 10 anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke kampung berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut.
"Kami dapati harimau kumbang itu berada dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya hanya dapat menyelamatkan dua ekor harimau kumbang daripada diancam kepupusan.
Harimau kumbang ini akan diberi rawatan oleh pegawai veterinar Jabatan PERHILITAN terlebih dahulu dan dilepaskan di kawasan perlindungan di negeri ini yang berada di bawah jagaan jabatan itu," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan