Ahad, 16 Disember 2018

‘Nabi ﷺ tak mungkir janji’

isma web

Pemuda UMNO bidas kenyataan Khalid Samad elak tunai manifesto

BANGI – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad dinasihatkan agar beradab dan tidak terlalu rakus berpolitik, sehingga tergamak menisbahkan Nabi Muhammad ﷺ ke dalam percaturan politik parti itu.

Nasihat itu diberikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, susulan kenyataan Khalid hari ini yang memberi contoh kisah Rasulullah ﷺ bagi merujuk kepada kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

Khalid pada ucapan pengulungan Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, di Ipoh hari ini dipetik sebagai berkata:

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji. Nabi ﷺ pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Makkah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Hudaibiyah, tidak dapat. Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa.”

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, hakikatnya Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mungkir janji, bahkan sebagai insan maksum baginda membuat setiap tindakan dan keputusan bersandarkan wahyu, dan ini berbeza dengan manusia biasa.

“Tergamak sungguh pimpinan PAN YB Khalid Samad menisbahkan dan menyamakan pemungkiran janji manifesto PH mereka dengan junjungan Nabi ﷺ .

“Hakikatnya Nabi ﷺ tidak pernah mungkir janji. Sedarlah bahawa Nabi ﷺ membuat apa jua tindakan dan keputusan bersandarkan wahyu, sedangkan manusia membuat tindakan dan keputusan bersandarkan nafsu.

“Beradablah dengan Nabi ﷺ. Usahlah terlalu rakus berpolitik sehinggakan mahu diheret Nabi ﷺ dalam menutupi kelemahan diri dan terus menerus menipu rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Asyraf berkata, Nabi ﷺ melarang manusia daripada sewenang-wenangnya mengaitkan tindakan dengan hukum Allah Taala, malah memberi contoh peristiwa di antara Nabi Muhammad dengan panglima perang bernama Buraidah.

“Nabi ﷺ sendiri dalam hadis yang sahih melarang kita daripada sewenang-wenangnya mengaitkan sesuatu tindakan dan ijtihad kita atas nama hukum Allah.

“Pernah satu ketika baginda ﷺ melarang Panglima perang baginda bernama Buraidah untuk tidak menjatuhkan (menamakan) hukum Allah ke atas musuhnya apabila dia mengepung mereka.

“Nabi ﷺ bersabda, yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kamu tidak mengetahui adakah kamu menepati dengan hukum Allah ataupun tidak ke atas mereka, tetapi jatuhkanlah kepada mereka hukum kamu sendiri dan hukum sahabat-sahabat kamu”,” katanya,

Justeru, Asyraf menyeru agar kisah itu direnung dan diambil iktibar, kerana ia jelas menunjukkan bahawa ada perbezaan antara hukum Allah dengan manusia.

“Maka renungilah bagaimana Nabi ﷺ membezakan antara hukum Allah dan hukum panglima perang yang sedang berijtihad. Baginda juga melarang untuk dinamakan hukum orang yang berijtihad sebagai hukum Allah,” katanya.


Tiada ulasan: