Isnin, 7 Mei 2018

Razif nafi akan laksana hudud, cuma kata 'sedia'

MALAYSIAKINI

   

PRU14 | Menteri Besar sementara Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan beliau tidak mengatakan negeri itu akan melaksanakan hudud, sebaliknya hanya berkata ia "bersedia untuk berbuat demikian".

Menurut The Star Online, Razif hanya menyatakan kesediaan Umno menerima pakai hudud, dengan syarat mendapat persetujuan semua parti komponen BN.

"Saya tidak bermaksud kita akan melaksanakan hudud. Apa yang saya maksudkan ialah kita bersedia, tetapi kita perlu mempertimbangkan parti komponen lain di bawah BN," katanya dipetik sebagai berkata.

Razif menegaskan kerajaan BN Terengganu tidak berkuasa untuk melaksanakan hudud di negeri itu dengan menyatakan bahawa sebarang keputusan dibuat oleh pengerusi BN Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pengerusi BN Terengganu itu juga mendakwa kenyataannya mengenai isu itu telah digunakan untuk menyebabkan keretakan antara orang Islam dan bukan Islam di negeri ini.

Razif dalam video yang dimuat naik ke laman Youtube Terengganu News TV sebelum ini mengatakan kerajaan negeri akan melaksanakan hudud jika BN menang dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Insya-Allah, kerajaan negeri Terengganu tak ada hal (masalah), bila kita berjaya nanti insya-Allah di bumi Terengganu ini akan juga kita laksanakan hukum hudud, insya-Allah,” katanya ketika berucap di depan orang ramai dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Tiada ulasan: