PRU14 | Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa laman webnya telah "digodam" dan semua isi kandungannya telah dihapuskan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dimaklumkan mengenai perkara itu oleh hos blog berkenaan.
"Sejak jam 10 pagi ini, laman blog saya rafiziramli.com yang mengandungi kesemua beratus-ratus dokumen itu tidak dapat dicapai. Saya dihubungi orang ramai yang ingin membaca dokumen-dokumen tersebut.
"Saya telah melaporkan perkara ini (laman blog yang tidak dapat dicapai) kepada DataKL.com iaitu syarikat yang menjadi hos kepada blog saya.
"Pada jam 4.04 petang tadi, saya mendapat maklum balas dari DataKL.com bahawa laman blog saya telah digodam dan semua maklumat di blog saya telah dipadamkan," kata Rafizi menjelaskan kali pertama laman webnya di godam.
Ketika kenyataan Rafizi dihantar sekitar 4.30 petang, blog beliau hanya memaparkan halaman kosong. Namun bila Malaysiakini sekali lagi memeriksa sekitar 5.30 petang, laman itu telah dapat diakses kembali.
Rafizi juga mendakwa 'amat logik' untuk mengesyaki jentera pilihan raya BN dibalik pengodaman itu.
"Adalah logik untuk mengesyaki jentera kempen Barisan Nasional yang bertanggungjawab menggodam laman blog saya dan memadamkan beratus-ratus dokumen rasmi dari penyata kewangan yang diaudit mengenai skandal-skandal utama negara.
“Adakah jentera kempen Barisan Nasional berasa bimbang dengan tularnya video itu yang memberi gambaran jelas bahawa kesemua skandal itu sumbernya dari penyata-penyata kewangan yang diaudit?
"Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa jika Pakatan Harapan menang esok, peristiwa menggodam ini akan disiasat sepenuhnya,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan