Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Edwin Michael menjangkakan berlakunya
kerajaan campuran di Perak, antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Pendekatan ini dilihat apabila hanya BN yang boleh menerima syarat
parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang umum diketahui
membawa agenda dan perjuangan mengenai Islam.
"Saya menjangkakan di Perak dan di Kedah akan membentuk kerajaan campuran bersama dengan PAS.
"Ini kita boleh agak kerana pendirian PAS lebih selesa bekerjasama
dengan BN atas satu faktor utama, selagi BN boleh memberikan jaminan
bahawa pemerintahan akan berlandaskan al-quran dan sunnah," ujar beliau
kepada Antarapos.
Kata Edwin lagi, tiada kemungkinan PAS bergabung dengan PKR kerana dari
awal mereka sudah memberitahu bahawa tidak akan ada kerjasama dengan
Pakatan Harapan (PH) disebabkan adanya DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dan sementara itu, kita juga boleh menjangkakan PAS Perak kemungkinan
besar tidak bergabung dengan Pakatan Harapan kerana daripada awal lagi
sebelum PRU lagi mereka konsisten bahawa tidak akan bekerjasama Pakatan
Harapan," katanya.
PAS mula meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) pada 2015 selepas parti itu dikatakan mengenepikan agenda Islam yang dibawa mereka.
Selepas itu Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan bersama PKR, DAP, dan
Amanah, kemudian disusuli PPBM yang menyertai pada tahun lalu.
Pembentukan kerajaan negeri di Perak masih 'tergantung' selepas tidak ada parti yang melepasi majoriti mudah.
Di Perak, PKR menang 29 kerusi, BN (27) dan PAS (tiga) daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.
Bagi PKR, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Namun begitu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
melalui satu kenyataan media mengesahkan mempunyai jumlah kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan