ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dijangka mengangkat sumpah
kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, di sini
hari ini.
Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah diuar-uar
sebagai calon utama untuk mengisi jawatan berkenaan selepas gabungan
parti menggunakan logo PKR itu sah mengambil alih kerajaan negeri
melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketika ditanya beliau mengesahkan PH sudah menyenarai pendek nama calon
Menteri Besar Kedah selepas menerima undangan untuk majlis mengangkat
sumpah di Istana Anak Bukit hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara spesifik nama calon yang
disenarai pendek susulan mesyuarat tergempar Ahli Majlis Pengerusi PH
Kedah itu.
"Kita sebenarnya belum dapat mandat sepenuhnya daripada pimpinan
tertinggi parti dan masih menunggu surat perlantikan daripada pucuk
pimpinan...jadi pagi ini belum boleh buat sebarang pengumuman," katanya
ketika sidang media di Wisma Amanah di Stargate, di sini.
Ditanya siapa calon Menteri Besar Kedah itu, Mukhriz bagaimanapun meminta media bersabar dan menunggu beberapa jam lagi.
Berdasarkan maklumat Mukhriz yang pernah menjadi Menteri Besar selepas
BN menang dalam PRU-13 adalah calon utama untuk mengisi jawatan Menteri
Besar.
Nama lain ialah Datuk Johari Abdul yang menang di kerusi DUN Gurun dan
Parlimen Sungai Petani, mengambil kira jumlah kerusi paling tinggi
dimenangi parti itu dalam pakatan PKR.
Mengenai status 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
dimenangi yang dilihat berisiko, Mukhriz mengakui pakatan menggunakan
logo PKR memiliki jumlah kerusi paling banyak berbanding PAS dan BN yang
masing-masing memiliki 15 dan tiga kerusi.
"Kita ada tiga parti dan yang paling banyak akan diberi mandat....kita
ada 18 kerusi iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan...kita paling
banyak (menang kerusi) dan berhak tubuhkan kerajaan" katanya.
Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi
mengukuhkan penguasaan di Kedah, Mukhriz tidak menolak kemungkinan itu
akan berlaku.
Berhubung faktor Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan mencetus
kebangkitan rakyat untuk mengubah pentadbiran di beberapa negeri dan
Persekutuan, Mukhriz mengakui ia antara pendorong.
"Dia (Mahathir) adalah faktor utama termasuk di Kedah...menjadi calon
sendiri di Langkawi, beliau memainkan peranan penting dalam mencetus
keyakinan rakyat," katanya.
Mengenai ekspresi beliau selepas menerima khabar kebangkitan rakyat,
Mukhriz mengakui menarik nafas lega apa yang kita impikan jadi
kenyataan.
"Kami sedar kami kena mula kerja bermula hari pertama sebab banyak yang kami janji kepada rakyat dan kami akan tunaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan