Ahad, 13 Mei 2018

Mohamad Nordin dilantik Ketua Pengarah baru Jakim

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kontrak perkhidmatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha akan tamat pada 16 Mei ini.
 
Othman dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah bersetuju dan meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Ketua Pengarah Jakim mulai 17 Mei.
 
Katanya, majlis penyampaian surat pelantikan Mohamad Nordin telah diadakan pada 7 Mei lalu di Jabatan Perdana Menteri.
 
“Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, ditambah dengan integriti tinggi yang dimiliki, saya yakin dan percaya beliau mampu meneruskan visi dan misi Jakim untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di negara ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.
 
Othman turut berterima kasih kepada kerajaan yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai Ketua Pengarah Jakim selama lebih tujuh tahun.
 
“Saya berdoa agar kerajaan Malaysia khususnya perkhidmatan awam terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
 
Mohamad Nordin, 58, mendapat pendidikan awal dari Kolej Islam Klang, Selangor seterusnya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (BA) Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982 dan Sarjana Pengajian Islam (M.A) Tamadun Islam UKM pada 2000.
 
Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 31 Januari 1984.
 
Mohamad Nordin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
 

Tiada ulasan: