Khamis, 10 Mei 2018

Ketua Menteri Melaka angkat sumpah esok – PH Melaka

MALAYSIA GAZETTE
Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.
Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.
 
MELAKA- Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.

Pengerusi Amanah Melaka itu berkata pada masa ini, PH Melaka masih mengadakan perbincangan bersama rakan -rakan dalam parti komponennya untuk jawatan tersebut.

“Setiap parti (dalam PH) akan kemukakan calon dan kita akan muktamadkan (calon Ketua Menteri Melaka) dalam masa terdekat, harap hari ini kita buat keputusan.”

“Pembahagian exco akan dibincangkan nanti,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu pada sidang media di Graha AMANAH Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya dan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen merangkap ADUN Paya Rumput.

PH berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka melalui majoriti mudah apabila menakluk 15 kerusi DUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Adly berkata PH Melaka fokus untuk melaksanakan 20 janjinya dalam lima tahun seperti terkandung dalam manifesto dan tawaran pakatan itu untuk negeri Melaka.

“Terima kasih saya ucapkan kepada rakyat atas mandat dan amanah yang diberikan ini, kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata pakatan itu berharap peralihan kuasa kerajaan negeri akan dilaksanakan dalam keadaan teratur dan aman harmoni.

“Kita minta supaya peralihan teratur, sempurna dan minta bantuan polis dan penjawat awam untuk teruskan khidmat mereka dalam dasar yang kita buat,” katanya.— BERNAMA


Tiada ulasan: