Rabu, 23 Mei 2018

Dr M: JASA, JKKKP, PEMANDU, MPN, SPAD akan dibubarkan

MALAYSIAKINI



Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran enam agensi dan jawatankuasa kerajaan - Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

"Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi  nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

"Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya  fikir kita pun ada kepintaran," katanya semasa sidang akhbar mesyuarat pertama Kabinet  di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Dalam kes JKKKP yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, perdana menteri berkata jawatankuasa berkenaan menjadi terlalu berunsur politk sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.

"Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran.

"Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu," katanya.

Begitu juga, katanya, MPN yang peranannya untuk menyediakan maklumat akademik kepada kerajaan beralih menjadi badan politik yang digunakan untuk menyokong kerajaan BN.

"Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan.

"Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu," katanya.
Mengenai SPAD, Mahathir berkata, peranannya akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Kerajaan juga, menurut beliau, akan mengkaji membubarkan agensi penasihat lain yang dibentuk di bawah kerajaan BN sebelum ini.

Beliau berkata keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

"Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

"Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja," katanya.

Perdana menteri berkata, proses penamatan penjawat awam lantikan kontrak yang berkaitan politik akan diteruskan namun kerajaan akan mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah.

Mengenai perkara berasingan, Mahathir berkata kerajaan juga akan mengkaji semula projek yang dimulakan semasa pentadbiran beka perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini termasuk projek projek Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuhraya Pan Borneo.

"Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang."

Tiada ulasan: