Selasa, 8 Mei 2018

Di Penaga, pengundi kecewa akan undi BN dan PAS

 
Ia bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan SPR menolak pencalonan wakil PH, Yaakob Osman atas alasan muflis.


Penyandang Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican (2 dari kanan) bergambar dengan penyandang kerusi DUN Bertam, Shariful Azhar Othman (kiri), Roslan Saidin bagi DUN Pinang Tunggal dan Mohd Zain Ahmad (kanan) bagi DUN Penaga.


BUTTERWORTH: Pertarungan sengit untuk memenangi hati dan minda pengundi sedang berlaku di Kepala Batas, kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang yang pernah dikuasai Barisan Nasional (BN) selama 6 dekad.

Beberapa wakil rakyatnya juga pernah dilantik sebagai menteri persekutuan, dengan yang paling diingati ialah bekas timbalan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pemimpin BN bergantung kepada pengaruh Abdullah, tokoh yang masih digeruni Pakatan Harapan (PH).

Pemerhati percaya auranya mampu membantu penyandang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempertahankan kerusinya buat satu lagi penggal.

Reezal, 45, ialah ahli Majlis Tertinggi Umno dan timbalan menteri luar.

Beliau menang pada 2013 dengan mengalahkan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dengan 53.8% undi, lebih rendah daripada 66% undi yang diperoleh Abdullah pada 2008.

Pengundi Penaga berdiri di luar dewan mendengar ceramah calon PH bagi Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria.

Wakil PH, Dr Zaidi Zakaria dan calon PAS, Siti Mastura Muhammad bakal menentang Reezal di kerusi itu pada pilihan raya esok.

Bagaimanapun, hasil tinjauan kecil di kubu kuat Umno itu mendapati sentimen di peringkat akar umbi beralih kepada pembangkang selepas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai PH.

Ini ketara di Penaga, pekan kecil di sempadan Kedah dan Pulau Pinang, di mana kebanyakan penduduknya adalah petani dan nelayan.

Seorang pengundi di Penaga berkata, beliau akan mengundi calon Parlimen PH, tetapi akan merosakkan undinya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga.

Formen bengkel motosikal yang berusia 59 tahun itu berkata, beliau akan mengundi kedua-dua calon BN dan PAS bagi DUN Penaga, selepas pencalonan wakil PH di kerusi itu ditolak.

Katanya, ramai pengundi di Penaga akan menggunakan taktik itu untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak membenarkan calon PH, Yaakob Osman bertanding.

Yaakob yang juga ketua penerangan PPBM Pulau Pinang, didakwa muflis ketika mengemukakan kertas pencalonannya. Beliau mendakwa sudah menyemak statusnya sehari sebelum pencalonan dan disahkan beliau tidak muflis.

Kerusi negeri Penaga akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Mohd Zain Ahmad dan calon PAS, Mohd Yusni Mat Piah.

“Rakan-rakan dan saya sendiri memutuskan untuk menandakan X di kedua-dua kotak bagi DUN dan X bagi logo ‘mata’ PKR untuk calon Parlimen.

“Kami boleh memberitahu mereka berapa banyak undi yang sepatutnya diperolehi PH melalui jumlah undi rosak itu.”

Seorang nelayan bagaimanapun mempunyai rancangan berbeza esok. Katanya, beliau yang merupakan penyokong setia Umno lebih 30 tahun, akan mengundi PAS esok disebabkan tindakan SPR membatalkan pencalonan wakil PH.

“Saya akan menunjukkan keingkaran saya dengan mengundi PAS. Sekurang-kurangnya itu lebih baik daripada mengundi BN,” kata lelaki berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Jang.

Katanya, beliau berhenti menyokong Umno sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan dan kerajaan dipalit beberapa skandal.

“Sebelum ini, kami pergi ke pasar membeli ikan tanpa tanya harganya. Kita pilih dan terus timbang. Lihatlah betapa murahnya ikan di Penaga kerana sini ialah kawasan perikanan.

“Hari ini, harga ikan kembung di pasar melambung sehingga RM18 1kg. Kita hanya mampu membeli suku daripada ikan itu.

“Saya tertanya-tanya jika menteri persekutuan tahu bagaimana harga barangan menjejaskan kita?
Mereka hanya duduk dalam bilik berhawa dingin mereka dan bercakap perkara mengarut di TV3.”

Beliau juga mendakwa beberapa projek persekutuan membina rumah untuk penduduk kampung di Pengkalan Bongor nampaknya tergendala, dengan 1 projek terbengkalai sejak 7 tahun lepas.



Calon PH bagi DUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq disambut baik pengundi di Kampung Kovil, sebuah pekan lama di Kepala Batas.

“Mereka beritahu kami pemilik tanah, mereka akan bina rumah di atas tanah kita secara percuma. Hampir 10 tahun dan tiada apa yang berlaku. Apa yang kami dengar hanyalah mereka tidak cukup wang.”

Seorang pekerja syarikat berkaitan kerajaan menghargai inisiatif kerajaan persekutuan untuk belia, tetapi kesal kerajaan tidak pernah melawat kawasan pedalaman seperti Penaga.

“Saya ialah pengundi BN sebelum ini. Setiap 5 tahun mereka datang sini, menjanjikan sesuatu, tetapi tak nampak sebarang perubahan. Pembangunan di Penaga sangat perlahan.

“Semua program baik dilaksanakan kerajaan persekutuan di kawasan bandar. Bagaimana dengan kami? Saya yakin Dr Mahathir boleh melaksanakan tugas lebih baik daripada Najib.”

Seorang peniaga kedai runcit kecil yang berusia 65 tahun berkata, beliau mengundi BN selama ini, tetapi beliau sedar selepas mendengar ceramah Dr Mahathir.

“Saya dengar Dr Mahathir kata kita tidak boleh bergantung kepada pemberian wang seumur hidup.
“Beliau tanya soalan yang saya tidak akan lupakan: adakah saya mahu pemberian wang atau negara dan kehidupan lebih baik? Pilihan saya ialah negara lebih baik.”

Tiada ulasan: