Jumaat, 16 September 2016

Negara kehilangan tokoh sangat cemerlang dalam politik, akademik

DALIA ISMAIL
 
 
Prof Emeritus  Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid Majlis Dakwah Negara (MDN) berpandangan Allahyarham Datuk Dr Haron Din adalah permata negara secara keseluruhannya memandangkan sikap politik dan akademik ketika hayatnya yang positif dan sederhana telah memberi sumbangan yang besar kepada perpaduan kaum di negara ini.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Emeritus Mahmood Zuhdi Ab Majib berkata, dengan berita sedih itu negara kehilangan seorang individu yang sangat cemerlang ketika hayatnya.

"Pemergian beliau boleh disifatkan sebagai kehilangan kepada negara secara keseluruhannya memandangkan sikap politik dan akademik beliau yang positif dan sederhana telah memberi sumbangan yang besar kepada perpaduan kaum di negara ini.

"Boleh dikatakan beliau tidak pernah tersalah kata mencerca pegangan dan anutan orang lain baik di dalam atau di luar agama Islam.

"Daripada Allah kita datang dan kepada Nya jugalah kita kembali," ujarnya dalam kenyataannya hari ini.

Mursyidul Am Pas itu disahkan meninggal dunia di Hospital Stanford San Francisco, California pada jam 10.10 pagi tadi dalam usia beliau menjangkau 76 tahun,kerana serangan jantung.

Mengulas lanjut Mahmood Zuhdi berkata,kepada ahli dan penyokong Pas atas kehilangan Mursyidul-Am kedua mereka sesudah kehilangan Mursyidul-Am pertama Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat adalah sesuatu yang menyedihkan.

"Parti itu baru sahaja kehilangan seorang musyidul amnya beberapa tahun yang lalu. Sebagai Mursyidul Am, Allah yarham telah memainkan peranan yang berkesan sebagai pemimpin spiritual kepada Pas walau pun tempoh perkhidmatannya boleh disifatkan sebagai pendek.

"Sejak menjadi Timbalan Mursyidul-Am yang pertama dalam tempoh masa yang cukup lama di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz beliau telah menunjukkan sikap kepimpinan yang sangat mementingkan kesederhanaan dalam berbagai aspek.

"Malah sejak penglibatan beliau dalam politik sejak tahun 70-an lagi lagi Allahyarham terkenal sebagai seorang yang sangat menjaga mulut dan lidah nya dari apa saja perkataan yang boleh menyakiti orang lain.

"Allahyarham juga sangat terkenal sebagai seorang yang sentiasa memilih konsenses dalam urusan kepartian dan sentiasa mengelak daripada mencabar atau dicanang dalam mana-mana pemilihan parti.

 "Dari segi ini Allahyarham boleh dianggap sebagai faktor perpaduan dalam parti yang beliau anggotainya, iaitu Pas sama ada pada waktu parti itu berada di dalam atau di luar Barisan Nasional.

"Malah dalam percaturan politik yang sedang berlaku sekarang pun beliau tetap mengambil sikap berimbang sama ada diperingkat parti Pas yang menghadapi perpecahan ataupun di luar parti di mana umat Islam seluruhnya di negara ini sedang berhadapan dengan masalah perpaduan," terangnya.

KENANGAN: Allahyarham Datuk Dr Haron Din (kiri) dalam satu  pertemuan diadakan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (tengah) dan Prof Datuk  Dr Mahmood Zuhdi Ab Majib pada Ogos lalu.KENANGAN: Allahyarham Datuk Dr Haron Din (kiri) dalam satu pertemuan diadakan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (tengah) dan Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majib pada Ogos lalu.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai Allahyarham yang menerima berita sedih awal pagi ini.

"Dalam kalangan keluarga dan sahabat handai beliau itu meskipun merupakan satu peristiwa yang sangat berat untuk diterima tetapi kesayangan Allah terhadap beliau sebagai seorang ahli keluarga dan sahabat handai yang soleh tentu sekali boleh dijadikan penawar duka dan sandaran yang kuat untuk menerimanya dengan penuh rela dan azam yang kuat.

"Mudah mudahan segala kebajikan yang pernah beliau lakukan ganjarannya boleh dikongsi bersama oleh kaum keluarga di akhirat nanti," ujarnya.

Malah Dr Mahmood Zuhdi juga berkata sempat bertemu Allahyarham pada Ogos lalu ujarnya, Allahyarham sempat memberi ilham bagaimana perpecahan ummah perlu diselesaikan dengan cara yang terhormat dan bijaksana.

Allahyarham  juga katanya, wajar dikenali sebagai tokoh kerohanian yang sentiasa positif dalam segala usaha yang dilakukannya bagi faedah umat Islam di negara ini.

Sebagai rekod pada 12 Febuari lalu Allahyarham  antara Ketua Kluster Dakwah yang dilantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang bertujuan antara lain membawa cadangan kepada majlis itu untuk disepakati dan menyelaraskan perbincangan Umno-Pas akan kepentingan Melayu-Islam di masa depan.

Tiada ulasan: