Rabu, 7 September 2016

Kecewa dengan Umno, cucu bekas TPM sertai Bersatu

DETIK DAILY
 

 
Oleh Nawar Firdaws


PETALING JAYA: Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman mengumumkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)


Katanya, walaupun tahu tindakannya itu akan mengecewakan sebahagian ahli keluarganya, beliau masih memilih Bersatu dan bukannya Umno kerana tidak lagi percaya kepada cara pengurusan parti itu.

“Ia mengenai perubahan dan kemajuan. Ia mengenai kepimpinan melalui teladan.
 
“Saya mengambil keputusan menyertai Bersatu bukan kerana saya marah, cemburu atau kecewa dengan Umno. Saya hanya tidak percaya dengan cara parti itu dikendalikan sekarang.
 
“Saya orang Melayu, tetapi saya juga progresif. Oleh itu, saya tidak percaya dengan (konsep Umno) melindungi Tuan Presiden (Datuk Seri Najib Razak),” katanya kepada FMT hari ini.
 
Ditanya kenapa beliau menyertai Bersatu yang hendak menjatuhkan parti di mana datuknya mengabdikan seluruh hidupnya,
 
Tariq berkata, Umno hari ini memerlukan perubahan yang hanya boleh dilakukan dari luar.
“Umno hari ini lebih baik menjadi syarikat berkaitan kerajaan kerana semua orang berada di dalam sana demi wangnya.
 
“Selagi mereka kekal berkuasa, mereka tidak akan berubah. Mereka menjadi begitu angkuh. Selain itu, ramai orang seperti (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mengubah Umno dari dalam.
 
“Ia tidak berjaya dan tidak kira apa pun, golongan progresif dalam Umno akan ‘dibunuh’,” katanya.
 
Beliau berkata, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno akan kembali kepada perjuangan asal parti itu untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja, hak Melayu dan Bumiputera.
 
“Ia bertujuan menyatukan semua dan menyedari sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai perbezaan unik dan kepelbagaian yang perlu diraikan.
 
“Untuk membolehkan semua orang mendapat hak mereka yang sepatutnya dan pada masa sama memperjuangkan nilai Melayu asal, termasuk integriti, kesopanan, maruah dan rasa hormat kepada orang lain,” katanya.
 
Bersatu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.
 
Minggu lalu, Setiausaha penaja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman dilaporkan berkata, pendaftaran parti itu dijangka diluluskan Jumaat ini, selepas jawatankuasa penaja memenuhi semua syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)
 
 

Tiada ulasan: