TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi dan
politik, manakala moral pula dianggap tidak penting. Menjadi rungutan
masalah kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia,
rasuah, pembahagian ekonomi yang tidak adil yang mencetuskan kesusahan
hidup. Kekayaan berpusing dalam kalangan tertentu atau disalah guna atau
diambil secara salah. Maka berlaku kebocoran, sedangkan rakyat yang
majoriti berpendapatan rendah pula tidak saksama dengan harga barangan
keperluan yang semakin meningkat.
Kerajaan pula mengambil
penyelesaian dengan meningkatkan cukai atau mengadakan cukai-cukai baru,
akibatnya sangat membebankan rakyat. Pada masa yang sama, meningkat
pula kadar jenayah berat yang membahayakan, seperti merompak, membunuh,
mencuri, menipu dan lain-lain.
Adapun rompakan secara nyata atau
mencuri secara tersembunyi oleh pihak yang dikira berkuasa tidak
dikisahkan. Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak yang
merosakkan diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan. Oleh
kerana negara kita juga berada dalam dunia, maka tidak terlepas juga
daripada wabak ini. Sebabnya manusia sendiri yang melakukan kejahatan.
Firman Allah:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ
فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم
بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
(٤١-الروم)
"Telah
timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia,
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Rum:
ayat 41)
Kebanyakan manusia tidak sedar kelemahan dirinya sebagai
makhluk ciptaan Allah yang tetap punya kelemahan. Seringkali mereka
tidak mengaku salah dan mendabik dada sebagai paling bijak, sehingga
melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam Yang Maha Rahmat, Bijaksana dan
Adil terhadap seluruh alam.
Punca semua masalah ini ialah kerana
meninggalkan petunjuk Allah yang bernama ISLAM. Ini boleh difahami
menerusi ayat Allah SWT dalam Al-Quran:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُون
َ ٨٣ آل عمران.
"Patutkah
sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada
Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Deen Allah (Islam)? Padahal
kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri)
dan kepadaNyalah mereka dikembalikan." (Surah Ali-Imran: ayat 83)
Puncanya
kerana memisahkan jasad daripada akal dan roh, serta memisahkan aspek
kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama.
Laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak berfungsi dengan
betul, tanpa menyedari perlaksanaan cara hidupnya tidak tepat dengan
sifat kejadiannya sendiri kerana terkeluar daripada petunjuk Penciptanya
iaitu Allah SWT, Yang Maha Mengatahui perkara berkenaannya.
Islam
berprinsipkan atas asas-asas terpentingnya iaitu, "Akidah Tauhid" dan
beriman kepada "Hari Akhirat", serta berkonsepkan "Taqwa dan Ad-Deen".
Semuanya
adalah petunjuk Allah yang dibawa oleh semua para rasul AS yang
berakhir dengan rasul akhir zaman Muhammad SAW. Terbukti sejak para
rasul terdahulu yang berpeluang melaksanakannya apabila diimani dan
diamalkan, telah mencapai kejayaan gemilang di zaman masing-masing.
Allah
mengisahkan Nabi Daud dan Sulaiman AS begitu juga Raja Zulkarnain yang
berjaya bersama Islam di zaman masing-masing. Allah juga mengisahkan
kemusnahan Kaum ‘Aad, Tsamud, Babylon dan Firaun yang musnah bersama
tamadun kebendaan mereka yang kaya-raya yang dibina atas jahiliyah yang
penuh kejahatan dan kezaliman kerana menentang para Rasul.
Islam
yang dibawa oleh rasul akhir zaman Muhammad SAW yang berasaskan empat
perkara di atas. Bermula dengan pembangunan insan generasi awalnya,
walau pun berada di bumi yang tidak ada sumber ekonomi namun telah
berjaya bersama Islam yang berasaskan perkara-perkara tersebut, membawa
obornya dengan kejayaan di zaman keemasan Baginda. Tamadun yang
mengumpulkan ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang ditapis daripada
tamadun-tamadun lain yang dibina oleh pelbagai kaum dengan mengambil
kebijaksanaannya sahaja dan menolak kemungkarannya. Menjadikan jasadnya
berakal, berilmu dan roh yang berhidayah, serta bersama kemajuan
kebendaan yang berkat.
Tegasnya, bahawa prinsip Akidah Tauhid dan
beriman kepada Hari Akhirat, serta konsep Takwa dan Ad-Deen telah
berjaya memandu manusia serta akalnya yang lemah, dapat disempurnakan
dengan hidayah Allah, telah memungkinkan mereka berfungsi mengikut
hikmah mereka diciptakan Allah pencipta Alam. Tujuannya ialah:
1- Beribadat
(Menjaga hubungan dengan Allah dan mematuhi petunjukNya.)
2- Berkhilafah
(Melibatkan diri dengan politik, ekonomi dan lain-lain serta urusannya)
3- Beramanah
(Melaksanakan Syariat yang sempurna.)
Akidah
Tauhid dengan mengesakan Allah sahaja Tuhan yang diibadatkan kepadanya
dengan jasad, roh dan akal. Ini menjadikan manusia itu tidak berlagak
menjadi Tuhan apabila berkuasa memerintah negara, atau diberi nikmat
kehidupan berpangkat atau berharta. Dengan tegas menolak syirik dengan
maksud yang menyeluruh, bukan sahaja diharamkan menyembah berhala atau
patung, termasuk juga makhluk yang lain, termasuk sesama manusia, dan
juga tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak
diizin oleh Allah.
Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan
individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan
demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau
teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya
menjadikan dirinya seperti Tuhan, rakyatnya sebagai hamba. Termasuk
menjadikan harta dan segala khazanah negara sebagai miliknya yang boleh
diambil dengan apa-apa cara dan menggunakannya tanpa batas sempadan
halal dan haram.
Akidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang
mengatasi undang-undang termasuk raja atau ketua negara sehingga
mengharamkannya berlagak Tuhan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:
مَا
كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ
وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ
ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ
ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُون
َ ٧٩ آل عمران
"Tidaklah
patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama
dan hikmah serta kenabian, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang
ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan
meninggalkan perbuatan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya dia berkata):
Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah
Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa
mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya."
(Surah Ali-Imran: ayat 79)
Firman Allah SWT lagi:
ٱتَّخَذُوٓاْ
أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ
وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ
إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا
يُشۡرِكُون
َ ٣١ التوبة
"Mereka menjadikan
pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain
dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam,
padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang
Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci
Allah dari apa yang mereka sekutukan." (Surah Maryam: ayat 31)
Ada
pun akidah beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan semua tindak-tanduk
manusia, tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala,
yang menentukannya mengikut hisab amalannnya, ke syurga atau neraka
setelah mati dan dihidupkan semula. Maka yang terlepas daripada dihukum
di dunia kerana kedudukannya yang bijak menipu atau dapat mengatasi
undang-undang kerana kuasanya, tetap percaya tidak terlepas bahawa
hukuman di Hari Akhirat itu lebih berat. Allah SWT menyatakan lagi:
يَوۡمَ
نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ
بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ
فَتِيلٗا
٧١ الإسراء
"(Ingatlah) hari Kami menyeru
tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal, atau nabi
atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan kitabnya di tangan kanannya,
maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak
dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (Surah Al-Isra':
ayat 71)
Firman Allah SWT juga yang mesti kita fahami:
وَعُرِضُواْ
عَلَىٰ رَبِّكَ صَفّٗا لَّقَدۡ جِئۡتُمُونَا كَمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ أَوَّلَ
مَرَّةِۢۚ بَلۡ زَعَمۡتُمۡ أَلَّن نَّجۡعَلَ لَكُم مَّوۡعِدٗا ٤٨ وَوُضِعَ
ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ
يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا
كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا
يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا ٤٩ الكهف
"Dan mereka tetap akan
dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan
kepada mereka): kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan)
sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu
menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang
tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). Dan
kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat
orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di
dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab
ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang
besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka
kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak
berlaku zalim kepada seseorang pun. (Surah Al-Kahfi: ayat 48 - 49)
Konsep
takwa menggantikan kebanggaan terhadap assobiyah bangsa, kaum, jantina,
warna kulit, pangkat dan harta. Takwa menjadikan manusia bermasyarakat
madani secara istiqamah dan tidak boleh berlaku ketidakadilan kerana
perbezaan bangsa, harta, keturunan, pangkat dan jantina. Firman Allah
SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا
خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا
وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ
أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
١٣ الحجرات
"Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat: ayat
13)
Konsep Ad-Deen membezakan Islam dengan agama dan ideologi
kerana ajarannya yang merangkumi segala aspek kejadian serta kehidupan
dan bertalian tanpa dapat diputus atau dipisahkan antara satu sama lain.
Menjadikan
aspek diri, keluarga, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan segala
pengurusannya tidah terpisah dengan Akidah Tauhid, Beriman kepada Hari
Akhirat , Takwa dan Deen (Islam). Firman Allah:
مَن
كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأٓخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِي حَرۡثِهِۦۖ وَمَن
كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِي
ٱلۡأٓخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ ٢٠ أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم
مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ
ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ
أَلِيمٞ ٢١ الشورى
"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal
usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat
tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki
(dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri
kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan dia
tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. Patutkah
mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari
Ad-Deen (agama dan cara hidup) mereka sebarang undang-undang yang tidak
diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang
menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu
masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada
mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim
itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah Syura:
ayat 20-21)
Setelah selesai menegakkan negara yang berteraskan
manusia yang dibina jati dirinya dengan perkara-perkara tersebut di
atas, maka Rasulullah SAW mengutus surat kepada ketua-ketua kerajaan
kuasa besar dan kecil dikelilingi Baginda supaya menerima tawaran
penyelesaian Islam tersebut. Apabila Raja Habsyah, Oman, Bahrain dan
ketua-ketua kaum menerimanya, mereka semua dikekalkan di tempat
masing-masing.
Ada pun yang menolaknya diturunkan daripada
jawatannya, digantikan dengan mereka yang beriman dan bertakwa bersama
Islamnya dengan jati dirinya mengikut acuan Islam.
Inilah
pendekatan yang wajib dilakukan oleh umatnya yang menyambung risalah
yang tidak selesai ini. Tegasnya bukan menukar pemimpin, tetapi menukar
jati dirinya dengan Akidah, Syariat, Akhlak dan pendekatan dengan
prinsip dan konsep tersebut. Maka pemimpin wajib bertukar sekiranya
berdegil dengan prinsip dan konsep yang salah demi menyelamatkan umat
dan negara.
Tegakkan Islam di dalam diri selamatkan negara, tegakkan negara tanpa jati diri Islam, negara tetap tidak selamat.
"INILAH PENYELESAIAN KITA"
* ABDUL HADI AWANG, Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan