Ahad, 15 Mei 2016

Seorang parah, lima cedera struktur bangunan runtuh

Bernama  




Enam buruh warga asing cedera termasuk seorang parah apabila sebahagian struktur bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh di persiaran Barat, di Petaling Jaya pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, struktur sementara yang digunakan untuk kerja-kerja pemasangan 'slab' di tingkat empat bangunan berkenaan tiba-tiba runtuh.

Pengawai Operasi, Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Bomba Mustakim Rimon berkata mangsa terbabit terdiri daripada seorang warga Indonesia dan lima warga Bangladesh berusia 30-an.

"Ketika kejadian, enam orang buruh sedang melakukan kerja pembinaan di tingkat empat bangunan itu. Tiga daripada mereka sempat menyelamatkan diri manakala tiga lagi terperangkap.

"Dua buruh yang terperangkap diselamatkan oleh rakan-rakan mereka manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dibawa keluar oleh pihak bomba kira-kira 2.50 petang tadi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menggunakan kaedah manual untuk membawa mangsa keluar selepas cubaan menggunakan kren tidak sesuai.

Mustakim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.56 pagi dan tiba empat minit kemudian.

"Seramai 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan dan punca kejadian masih lagi disiasat.

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan di lokasi kejadian kini dihentikan sementara waktu.

Sementara itu, seorang saksi kejadian Kamal Hussain, 40, berkata ketika kejadian beliau dan rakan-rakanya berada di sebelah kawasan pembinaan berkenaan sebelum mereka terdengar bunyi runtuhan.

Katanya, beliau dan rakan-rakannya bergegas ke tapak pembinaan yang hanya terletak kurang 100 meter dari tempat kejadian sebelum melihat beberapa individu tersepit di bawah konkrit.

Tiada ulasan: