Ahad, 15 Mei 2016

KKMM cadang wujud perkhidmatan wifi percuma di bandaraya Kota Kinabalu

Bernama
 
KKMM cadang wujud perkhidmatan wifi percuma di bandaraya Kota Kinabalu
Peruntukan untuk menyediakan perkhidmatan WiFi percuma itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak KKMM. - Gambar fail
 
 
KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang untuk mewujudkan perkhidmatan WiFi percuma di kawasan bandar raya ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata peruntukan untuk menyediakan perkhidmatan WiFi percuma itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak KKMM.

"Untuk tujuan itu saya akan mengadakan perbincangan dengan Mayor Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Padang Merdeka, di sini malam tadi.

Beliau berkata pihaknya ingin menjadikan bandar raya Kota Kinabalu setanding dengan bandar raya lain yang mempunyai perkhidmatan WiFi secara percuma.

"Dengan adanya perkhidmatan itu (WiFi) masyarakat khususnya golongan muda dapat melayari internet secara percuma dan mudah berkomunikasi ketika berada di bandar raya ini," katanya.

Sementara itu, Salleh menyeru kepada semua rakyat di negeri ini agar sentiasa menghargai pengorbanan dan perjuangan pemimpin serta rakyat terdahulu yang telah memastikan Sabah terus aman dan harmoni.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah amat penting untuk semua semua rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk sentiasa bersatu padu, bekerjasama menjaga semangat perpaduan dan persefahaman demi kecemerlangan dan kemajuan negeri dan negara.

"Kita mesti bermuafakat, berganding bahu dan berjuang teguh bersama dalam menangani pelbagai isu seperti ekonomi dan keselamatan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

"Kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan termasuk Pesta Kaamatan dalam keadaan aman dan damai di negara ini. Tidak seperti di sesetengah negara atau di tempat lain di mana berlaku pertelagahan antara kaum.

Oleh itu marilah kita sama-sama pertahankan suasana aman damai ini," katanya.

Mengulas mengenai karnival yang berlangsung selama dua hari sejak Jumaat, Salleh berkata ia bukan sahaja dapat mempromosi interaksi silang bangsa tetapi juga memupuk sifat  masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus membantu mewujudkan suasana yang kondusif dan harmoni.

"Karnival Kaamatan ini melibatkan kerjasama dan usaha pelbagai kaum dan etnik yang secara langsung memperlihatkan semangat bersatu padu, muhibah dan persefahaman antara warga bandar raya ini. Ianya selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Keamanan dan Persabahatan” .
"Oleh itu marilah kita bersama-sama menjaga dan membina keamanan, persahabatan serta kebersamaan yang amat unik di negeri ini...kitalah model contoh yang terbaik konsep 1Malaysia," katanya.

Salleh berharap Karnival Kaamatan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu itu diadakan secara berterusan setiap tahun termasuk di pusat-pusat membeli belah di sekitar bandar raya berkenaan supaya "mood" Kaamatan dapat dirasai oleh warga bandar raya atau pelancong.

"Saya percaya Karnival Kaamatan ini boleh dipromosi sebagai produk pelancongan selain menjadi wadah untuk memperkukuhkan perpaduan nasional, khususnya di Sabah yang mempunyai lebih 30 suku kaum etnik dan mempunyai lebih 50 dialek bahasa," katanya.

Tiada ulasan: