Rabu, 11 Mei 2016

Dipukau ‘ustaz’, rantai emas jadi pasir

 
Barang kemas mangsa ditanggalkan lalu disimpan di dalam sampul surat sebelum lelaki itu berpesan ia hanya boleh dibuka lepas mengambil wuduk.


pukau


PASIR MAS: Seorang wanita warga emas kerugian RM16,000 apabila barangan kemas miliknya ‘bertukar rupa’ menjadi daun kering, batu kecil dan pasir, dipercayai selepas dipukau dua lelaki dengan seorang daripadanya berperwatakan alim seperti ustaz.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah, 60, mendakwa dia menemui dua lelaki terbabit secara tidak sengaja ketika menunggu teksi di pondok berhampiran Dewan Majlis Daerah Pasir Mas selepas mendapatkan rawatan sakit darah tinggi di klinik berhampiran.

“Ketika saya duduk di pondok itu, datang dua lelaki tidak dikenali. Salah seorangnya bercerita mengenai kelebihan sebutir batu bersaiz jari kelengkeng berwarna emas tertulis nama Nabi Muhammad, kepada rakannya yang nampak alim dan dipanggil Ustaz Ibrahim.

“Lelaki itu beritahu saya batu itu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dan boleh jadi pelaris. Dia kemudian datang dan serah batu itu kepada saya sebagai sedekah sebelum pergi,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan, Kak Mah yang juga bekas peniaga kain berkata lelaki terbabit memberikannya sampul surat dan meminta semua barang kemasnya ditanggalkan dan dimasukkan ke dalamnya.

Ini kerana pantang larang untuk memiliki batu itu ialah seseorang itu perlu berwuduk dan tidak boleh memakai barang kemas.

“Saya terus menanggalkan dua cincin, dua gelang tangan dan seutas rantai dan masukkan ke dalam sampul surat itu.

“Lelaki itu kemudian beri sampul surat itu kepada saya untuk disimpan dan berpesan ia hanya boleh dibuka ketika saya mempunyai air wuduk,” katanya.

Kak Mah berkata sebaik tiba di rumah, dia segera mengambil wujud dan membuka sampul surat itu.
“Saya amat terkejut kerana yang ada hanya daun kering, batu kecil dan pasir saja. Bukan barang kemas,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.


Tiada ulasan: