Hari ini kita sudah berada di hari pertama tahun 2016. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana kita selalunya banyak ditanya mengenai azam dan harapan baharu, tahun baru kali ini pertanyaan paling popular ialah bilakah Najib Razak mahu meletakkan jawatan?
Kenapa
beliau liat sangat mahu berundur? Apa yang difikirkannya lagi sedangkan
sangat jelas sokongan rakyat makin merudum terhadapnya?
Apa yang menakutkannya untuk meletakkan jawatan?
Apakah beliau tidak memikir keadaan UMNO dan negara yang semakin caca marba akibat kepimpinan dan dasarnya yang entah apa-apa?
Hakikatnya
banyak sekali pertanyaan seperti itu kedengaran. Bermakna dalam setiap
nafas dan detik berfikir rakyat, keinginan mereka mahukan Najib
berundur dengan segera dan hadirnya seorang Perdana Menteri baru lebih
membuak-buak berbanding azam dan harapan untuk diri masing-masing.
Bagi
majoriti rakyat, kepercayaan mereka ialah kepimpinan Najib tidak boleh
diperbaiki dan caranya mentadbir juga tidak mampu diubah atau
dinasihati lagi. Satu-satunya cara yang diharapkan dapat memberi
kebaikan kepada negara ialah dengan cara menggantikannya dengan pemimpin
lain.
Rakyat
ternyata sudah begitu "tension" dan tertekan dengan kepimpinan Najib
yang semakin memburuk hari demi. Selain isu harga barang dan pelbagai
kenaikan dalam perkhidmatan pengangkutan serta perjalanan yang
membuatkan kehidupan rakyat kian sengsara, perkara lain yang hampir
memusnahkan keyakinan mereka ialah berkaitan kemelut 1MDB dan derma
RM2,600 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya.
Kedatangan
tahun baru 2016, sudahlah hampir saban tahun Najib menyambutnya di luar
negara dan rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos hidup,
turut dimulai dengan berita paling sedih untuk kita semua yang tidak
pernah berlaku dalam mana-mana kepimpinan terdahulu.
Semata-mata
kerana ingin melangsaikan hutang 1MDB, 60 peratus daripada kepentingan
dalam Bandar Malaysia yang luasnya hampir 500 ekar kini sudah sah
menjadi milik sebuah syarikat negara China yang mengadakan kerjasama
dengan Kerajaan Johor.
Konsortimum
China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd dengan Iskandar
Waterfront Holding Sdn Bhd itu dipersetujui membeli kepentingan 60
peratus Bandar Malaysia dengan harga RM7.41 bilion.
Tanah
Bandar Malaysia asalnya ialah kem TUDM Sungai Besi yang kini
dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan dan telah diberikan oleh
kerajaan kepada 1MDB dengan harga paling rendah dan di bawah nilai
pasaran.
Sebelum
itu, sayap tenaga 1MDB iaitu Edra Energy juga turut dijual kepada
sebuah syarikat negara China iaitu China General Nuclear Power Corp pada
harga RM9.83 bilion serta menanggung semua hutangnya.
Penjualan
demi penjualan aset dan tanah kepada syarikat negara asing untuk
melangsaikan hutangnya menjadikan 1MDB seolah-olah hanya "ejen
penjualan" harta dan kekayaan negara kepada pihak asing semata-mata.
Di
manakah kononnya 1MDB merupakan sebuah syarikat pelaburan strategik
jika akhirnya satu demi satu harta dan tanah yang diperolehi dengan
harga murah dijual kepada pihak asing dengan begitu mudah?
Bukankah jika Najib tidak menubuhkan 1MDB dahulu, semunya aset dan tanah itu masih kekal milik kita sehingga sekarang?
Begitu
juga dengan tanah Bandar Malaysia, jika dijual kepada GLC seperti Sime
Darby misalnya untuk dibangunkan dan tidak diberikan dengan 1MDB dengan
harga murah, tidakkah ia juga masih kekal menjadi milik kita serta
mampu menjana pendapatan lumayan untuk negara?
Malangnya,
tanah dan aset dijual dan tergadai semata-mata untuk membayar hutang
dan harta 1MDB semakin berkurangan jadinya. Akhirnya, tiada apa yang
tinggal lagi. Ibaratnya, kalau sekadar sekadar gah menjual harta dan
aset mak bapak, anak tidak sekolah pun pandai melakukannya.
Yang
berbaki kini hanyalah tanah TRX yang sedang diracik-racikkan melalui
pecahan lot, juga diberi oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga murah
dan mungkin turut akan dijual kepada banyak entiti asing untuk menutup
sebahagian lagi hutang syarikat itu.
Selain
itu, wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib juga amat
sukar diterima sebagai derma. Ia bukan saja menyebabkan buat pertama
kalinya negara kita disenaraikan di kedudukan ketiga negara yang
mempunyai "skandal rasuah paling buruk" bagi tahun 2015, bahkan kerana
ingin mempertahankan wang tersebut, Najib telah melakukan beberapa
tindakan pemecatan dan penyingkiran untuk mempertahankan dirinya.
Maknanya,
Najib sendiri tidak yakin dengan sejujur hatinya bahawa wang tersebut
merupakan derma semata-mata sehingga terpaksa menggunakan segala kuasa
yang ada untuk melindungi dirinya dan mengenepikan sesiapa saja yang
cuba bertanya mengenainya.
Kenapa perlu pecat dan buang orang jika benar-benar percaya bersihnya wang itu?
Kesimpulannya,
kedatangan tahun 2016 tidak lebih hanya menambahkan lagi tekanan dan
"tension" rakyat akibat kepimpinan Najib kerana selain masalah dan
keburukan sedia ada, tahun baru ini juga dimulai dengan semakin
hilangnya tanah dan kekayaan negara kepada pihak asing.
Tiada
pilihan untuk membendung semua ini daripada berterusan selain
menurunkan Najib dengan segera. Sama ada beliau dapat diturunkan dalam
waktu yang terdekat ini atau nasibnya akan ditentukan dalam PRU 14
nanti, biarlah masa yang menentukannya.
Blog
ini ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua dan bertekad mahu
meneruskan sumbangan istiqamahnya dalam memastikan Najib dapat
diundurkan demi kesejahteraan dan kelegaan kepada rakyat. Selagi Najib
ada, selagi itulah rakyat terus "tension" dan tertekan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan