BATU CAVES: Pihak Kuil Batu Caves meminta kerajaan negeri Selangor
untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu projek pembinaan kereta kabel
di Batu Caves yang masih tidak menemui jalan penyelesaian sehingga hari
ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Batu
Caves, Tan Sri R Nadarajah berkata bantuan kerajaan negeri amat
diperlukan bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi antara Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) dengan pihak kuil dalam isu projek yang
tergendala itu.
"MPS telah meluluskan projek dan kami sudah pun memulakan kerja
pembinaan. Tiba-tiba MPS mengarahkan untuk menghentikan projek itu dan
meminta beberapa dokumen untuk diserahkan kepada mereka.
"Kami telah pun memberikan segala dokumen termasuk pelan kepada MPS.
Tetapi sehingga hari ini tiada kelulusan daripada mereka," katanya
ketika ditemui Bernama di Batu Caves semalam.
Pada 2011, satu perjanjian persefahaman antara pengurusan Kuil Sri Maha
Mariamman dan Damodar Ropeways and Constructions Pty Ltd telah
ditandatangani untuk membina perkhidmatan kereta kabel sepanjang 250m di
Batu Caves.
Pembinaan projek RM10 juta itu sepatutnya siap dibina pada 2014 bagi
memudahkan warga emas, masyarakat Orang Kelainan Upaya dan pelancong
melawat gua paling atas di Batu Caves tanpa perlu memanjat 272 anak
tangga untuk sampai ke sana.
Namun, MPS menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel itu pada 6
Jun 2014 berikutan beberapa struktur pembinaan di sekitar Batu Caves
dikatakan dibina tanpa kelulusan kebenaran merancang.
Struktur-struktur yang didakwa termasuk patung Dewa Murugan setinggi 140 kaki dan 272 anak tangga kuil itu.
Nadarajah menjelaskan pihaknya telah membawa isu tersebut kepada
Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali) sebelum ini tetapi tiada perkembangan positif.
Beliau juga mendakwa MPS juga tidak memberi kelulusan bagi sebarang
projek yang dirancang di Batu Caves termasuk membina pusat kebudayaan
India yang mendapat peruntukan RM2 juta daripada kerajaan pusat pada
2012.
"Kami ada tempat, kami ada tanah, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun
Razak) memberikan peruntukan RM2 juta, kami (pihak kuil) mempunyai RM3
juta tetapi sehingga hari ini kami tidak mendapat kelulusan untuk
membina pusat kebudayaan itu," tambah beliau.
Beliau menjelaskan selain itu, projek membina kemudahan awam di tepi
sungai berhampiran kuil itu bagi upacara sembahyang dan pembinaan tangga
keempat juga tidak mendapat kelulusan daripada MPS meskipun projek itu
mendapat sokongan kerajaan persekutuan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan