SHAH ALAM: Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri
mempertahankan pertemuannya dengan ketua biskop Kuala Lumpur, Most
Reverend Julian Leow Beng Kim baru-baru ini.
Menerusi artikel yang ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor yang
disiarkan di laman web rasmi mufti, ia menerangkan persoalan yang
dibangkitkan khalayak khususnya umat Islam susulan pertemuan dua tokoh
agama berkenaan.
Artikel itu bermula dengan menjelaskan pendirian Islam dalam hal-hal keamanan, terutamanya berkaitan orang bukan Islam.
"Islam merupakan sebuah agama keamanan dan kedamaian bahkan lebih dari
itu, Islam juga merupakan agama yang amat menitikberatkan silaturrahim
sesama umatnya dan juga keharmonian bersaudara sesama bukan Islam,"petik
artikel itu.
Ia turut memetik Ayat 82 Surah Al-Maidah, yang menggambarkan hubungan antara orang Islam dan dan bukan Islam.
Penulis juga memetik beberapa peristiwa yang turut melibatkan
perjumpaan tokoh agama daripada kedua-dua agama, di mana menunjukkan
hubungan sedemikian telah lama dianjurkan.
"Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan hadith di dalam Sahihnya
peristiwa kedatangan delegasi Nasrani Najran datang ingin bertemu dengan
Rasulullah SAW.
"Mereka datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW tidak
pula menghalau, menyuruh mereka pulang ke Najran bahkan berlaku dialog,
antara mereka dan kisah ini masyhur dan dikenali dengan kisah
al-Mubahalah," petik kata penulis dalam artikel itu.
Selain pertemuan Rasulullah dengan pemimpin Nasrani, penulis juga
memberi contoh beberapa pertemuan lain membabitkan pemimpin agama Islam
dan Kristian sebelum ini.
"Sebagai contoh, lawatan Pope Francis ke Masjid Biru disertai dengan
Mufti Besar Istanbul, Sheikh Rahmi Yaran. Begitu juga, pertemuan antara
Paus Francis dengan Mufti Besar Bosnia-Herzegovina, Sheikh Mustafa
Ceric.
"Semua mesyuarat ini telah dianjurkan untuk mencapai kata sepakat dalam
menegakkan keamanan dan kemakmuran, terutamanya bagi negara-negara
dengan berbilang kaum, berbilang kaum dan agama.
"Islam adalah lebih terbuka kepada idea untuk mengadakan perbincangan
dan dialog dengan agama lain, untuk mencapai matlamat yang sama,"
tulisnya lagi.
Penjelasan tersebut ujarnya diharap akan menghentikan semua pertikaian berhubung pertemuan Zulkifli dengan Julian.
Terdahulu, pertemuan antara kedua-duanya mendapat perhatian banyak
pihak sehingga menimbulkan spekulasi kurang enak daripada pertemuan
berkenaan, apatah lagi isu kristianisasi sedang hangat diperkatakan.
Ia dilihat berpunca daripada beberapa gambar yang dimuat naik di
internet yang memaparkan kemesraan keduanya yang bersalam, berbincang
malah berpelukan.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat Zulkifli itu adalah kunjungan
Julian bagi membincangkan isu berkaitan kepelbagaian masyarakat,
toleransi, dan sikap hormat-menghormati antara agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan