Rabu, 13 Januari 2016

Umno hentikan polemik, fokus kesengsaraan rakyat



Oleh Muhammad Syafiq Azmi


Seorang Ahli Majlis Tertinggi  (MT) Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim melalui sebuah akhbar dilaporkan menyebut bahawa “Pakatan harapan tidak bertahan lama”. Beliau turut berkata pemimpin pembangkang seakan-akan terlalu memikirkan hal politik sehingga boleh menjejaskan isu utama iaitu membela rakyat.

Seharusnya beliau terlebih dahulu melihat permasalahan Umno itu sendiri sebelum beliau sibuk menjaga hal dan permasalahan parti lain.

Untuk pengetahuan, Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang terbaru merupakan kemuncak dan menifestasi suara akar umbi dan beberapa veteran Umno  seperti Tun Dr Mahathir ke atas pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak malah ia menjadi tragedi ngeri terhebat buat parti melayu tersebut.


Teguran Tun dan beberapa pengikutnya seperti bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin dalam isu yang menjadi tumpuan dalam dan luar negara mempengaruhi PAU 2015 yang berlangsung secara tertutup tanpa siaran langsung media seperti biasa.

Apakah Irmohizam mahu menafikan kepincangan yang berlaku dalam UMNO hari ini?

Ahli MT Umno itu perlu melihat kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang beliau sendiri berpengalaman bertugas sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri sebelum dipilih menjadi ahli parlimen pada 2008.

Beliau juga perlu melihat setiap kali kerajaan dipalit dengan pelbagai isu yang turut dimainkan media antarabangsa, ia terbukti gagal dijawab pihak kerajaan.

Ianya tidak terhenti disitu, malah rakyat juga semakin merasai keperitan hidup dengan kos sara hidup yang semakin menekan akibat kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan masalah kantung negara. Lantaran dari kegagalan urus tadbir tersebut maka kerajaan mula memperkenalkan sistem percukaian GST.

Adakah ini juga mahu diletakkan salah di bahu Pakatan Harapan hatta Pakatan Rakyat dahulu?

Kenaikan harga tol juga diyakini akan menjadi beban kepada keseluruhan rakyat dinegara ini. Setiap kali diasak dengan soalan tentang harga tol atau apa pun yang melibatkan perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi, pasti yang dipersalahkan pimpinan terdahulu.

Jadi apa rasionalnya kerajaan yang mentadbir dan dipilih rakyat, untuk menjadi pemudah cara atau penghabis harta?

Kerajaan hari ini sebenarnya boleh membuat penambahbaikan bagi setiap yang kesalahan atau kekurangan dilakukan kerajaan terrdahulu.Inilah sikap pihak kerajaan Barisan Nasional yang berterusan memperdaya rakyat terbanyak.

Realitinya bukanlah seperti yang diperkatakan Irmohizam, Barisan Nasional tidak perlu mendabik dada hanya mereka saja yang membela rakyat sedangkan ia adalah kewajipan mereka bagi memastikan keseluruhan rakyat dinegara ini terbela tanpa mengira individu itu dari parti mana.

Maka ada keperluannya supaya Ahli MT Umno itu bertindak dalam menasihati gelora yang berlaku dalam Umno serta kerajaan yang mereka tadbir hari ini.

Adakah beliau hanya mahu menjadi peramal nasib dengan meramalkan jangka hayat Pakatan Harapan, atau beliau bersama-sama membantu perdana menteri melaksanakan menifesto yang dijanjikan sebelum PRU 13 yang lalu kerana rakyat sepertinya mahu menurunkan mereka yang semakin dilihat gagal dalam menjadi kerajaan untuk rakyat. – 

*Muhammad Syafiq Azmi ialah Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM).

Tiada ulasan: