GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini dan masih mencari kaedah terbaik bagi memantau penggunaannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata setakat ini, kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan produk dan bahan rokok elektronik itu seperti mana yang dilakukan oleh negeri-negeri lain.
"Selepas dua minggu mengadakan dialog terbuka dengan pengusaha vape, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan lagi, pengusaha vape masih boleh menjalankan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pengusaha-pengusaha vape di Pulau Pinang malam tadi.
Antara yang hadir pada sesi dialog itu ialah Pengerusi Penguasaha Vape Pulau Pinang (PPVPP) Muhammad Hafidz Adnan, Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) Allan Foo dan lebih 30 pengusaha vape negeri.
Tambahnya, kerajaan negeri akan memastikan keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil bagi semua pihak khususnya pengusaha-pengusaha produk dan bahan rokok elektronik atau vape.
Pada 4 Disember lalu, Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan penggunaan rokok elektronik atau vape serta sisha difatwakan sebagai haram.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula telah berkali-kali meminta kerajaan negeri supaya mengharamkan vape serta-merta kerana berdasarkan tinjauan, vape telah mempengaruhi pelajar-pelajar sekolah untuk merokok. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan