Jumaat, 15 Januari 2016

Imigresen Teluk Intan kutip lebih RM500,000 tahun lalu

FREE MALAYSIA TODAY


Kompaun dikenakan hasil operasi ke atas PATI atau majikan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.


Khairul-Anuar-Sulaiman_imigresen_600


TELUK INTAN: Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan mengutip kompaun berjumlah RM503,340 sepanjang tahun lalu hasil pelbagai operasi ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) atau majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ketuanya, Khairul Anuar Sulaiman, berkata kutipan kompaun itu diperoleh menerusi 32 operasi melibatkan tangkapan 212 warga asing dan 14 majikan warga tempatan.

Katanya, kutipan kompaun tahun lalu itu meningkat 50 peratus berbanding RM284,300 yang dikumpul pada tahun 2014 dan RM70,320 dikutip pada 2013.

“Kutipan itu juga disumbang susulan pemeriksaan keluar masuk pendatang di kaunter Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang yang dahulunya dikenali Jeti Pelabuhan Ghadaf Marble,” katanya di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata, pihaknya komited untuk mencegah kemasukan PATI walaupun mempunyai kekangan daripada segi anggota demi menjaga keselamatan penduduk tempatan.

“Walaupun Bahagian Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan ini kekuatannya hanyalah seramai tujuh orang, namun kita serius membanteras PATI yang membawa masalah terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, dalam operasi membanteras PATI semalam, seramai 13 PATI ditahan di sekitar Langkap dekat sini kerana melakukan pelbagai kesalahan dan telah dibawa ke depoh tahanan sementara Imigresen di Langkap.

Selain mengenakan kompaun, Khairul Anuar berkata pihakya turut mengambil pendekatan menyenaraihitamkan dan mengusir PATI yang ditahan.

Langkah tersebut lebih ekonomik dan berkesan kerana PATI tidak perlu dimasukkan ke dalam penjara sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kos sara hidup mereka, katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: