Denda yang dikenakan ke atas Hishamuddin sebanyak RM5,000 pada tahun lalu masih tak cukup berat.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas pengarah filem, Hishamuddin Rais kerana menghasut orang ramai berdemonstrasi di jalan raya membantah keputusan pilihan raya pada tahun 2013.
Hakim, Datuk Nordin Hassan yang membenarkan pendakwa raya merayu membantah keputusan Mahkamah Sesyen tahun lalu yang mengenakan denda RM5,000, membuat keputusan bahawa hukuman itu tidak cukup berat.
“Perbuatan tertuduh yang membuat ucapan meminta orang ramai pada hari itu menukar kerajaan adalah satu kesalahan yang berat,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Nordin membenarkan permohonan peguam bela Hishamuddin, Syahredzan Johan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan kes di Mahkamah Rayuan.
Hishamuddin yang juga kolumnis dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM6,000.
Tahun lalu, Mahkamah Sesyen mendenda Hishamuddin sebanyak RM5,000 selepas didapati bersalah menghasut menggulingkan kerajaan dalam ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor KLSCAH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan