Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika
dan sekutunya Israel menindas negara-negara Islam seperti Palestin tanpa
sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi kerana TPPA selepas
ditandatangani nanti?
PETALING JAYA: PAS mengajak rakyat menyertai himpunan rakyat membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) supaya ia dapat menghalang Malaysia daripada hilang kedaulatannya sebagai sebuah negara bebas yang secara langsung akan meletakkannya dalam blok Amerika dan sekutunya.
Berikutan itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak orang ramai untuk menyampaikan kebimbangan mereka terhadap sikap kerajaan yang menyertai perjanjian tersebut dengan menyertai himpunan yang dijangka diadakan pada 23 Jan ini.
“Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika dan sekutunya Israel menindas negara-negara Islam seperti Palestin tanpa sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi kerana TPPA selepas ditandatangani nanti?” soal beliau dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman sosial miliknya.
Beliau yang tidak menafikan tindakan kerajaan membahas TPPA di Parlimen sebagai langkah positif namun katanya, PAS merasakan ia mungkin sekadar lakonan hiasan untuk menunjukkan bahawa kerajaan masih sedia mendengar – walhal para ahli parlimen BN telah diberi arahan untuk mengundi menyertai TPPA dari pihak atasan.
Sehubungan itu, PAS mencadangkan supaya satu referendum rakyat dibuat bagi kerajaan mendapatkan mandat sama ada menandatangani perjanjian atau sebaliknya.
“Dengan referendum ini, rakyat akan lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam TPPA ini melalui siri penerangan,” terangnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan