Jumaat, 1 Januari 2016

Gabungan desak pengunduran Najib susun siri jelajah, solat hajat

Zulaikha Zulkifli  







Ketika melangkah ke tahun baru, Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia bertekad tetap akan terus mendesak Presidennya, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Jurucakap gabungan itu yang mendakwa mewakili kira-kira 200 cawangan Umno, Kamarul Azman Habibur berkata, mereka akan terus perjuangkan nasib rakyat dan politik tanah air.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan mengaku kalah dan sentiasa akan beri pendedahan kepada rakyat tentang keadaan politik semasa.

"Kita akan terus berikan tekanan dan terus perjuang nasib rakyat, terus perjuangkan politik tanah air agar ia tidak membinasakan masyarakat.

"Kita tak akan mengaku kalah dan sentiasa beri pendedahan kepada rakyat," katanya dalam sidang media selepas program solat hajat di Puchong malam tadi.

Selain itu, Kamarul yang juga ketua Umno cawangan Taman TKK, Teluk Kemang berkata, gerakan itu kini telah menyusun pelbagai program termasuk akan mengadakan siri jelajah dan solat hajat di seluruh negara.

"Kita akan buat jelajah untuk bawa perubahan terhadap politik tanah air di mana kehidupan rakyat akan diutamakan.

"Dan solat hajat di Puchong ini merupakan program solat hajat kita yang pertama. Kita juga akan buat solat hajat perdana yang akan kumpulkan masyarakat dari seluruh negara," katanya lagi.

Bagaimanapun tarikh bagi solat hajat perdana itu masih belum ditetapkan.

Ditanya mengenai objektif solat hajat tersebut, Kamarul berkata ia bertujuan untuk menyelamatkan Malaysia serta memohon kesejahteraan di negara ini.

Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia merupakan gabungan yang aktif mendesak Najib meletakkan jawatan.

Sebelum ini, beberapa cawangan Umno telah menggesa perdana menteri melepaskan jawatannya itu antaranya cawangan Umno di bahagian Johor Bharu, Puchong dan Teluk Kemang.


Tiada ulasan: