SHAH ALAM: Bukan lapan, sebaliknya sepuluh kerusi diperuntukkan kepada
Parti Amanah Negara (PAN) dalam pembahagian kerusi ahli-ahli majlis
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dedah pengarah komunikasi parti itu,
Khalid Samad.
Menyifatkan ia sebagai jumlah yang munasabah, Khalid berkata pemberian
kerusi kepada PAN membuktikan parti itu mempunyai peranan penting dalam
pentadbiran Selangor.
"Pada asalnya hanya lapan kerusi diperuntukkan di dalam mesyuarat exco
semalam. Namun ada dua lagi kerusi yang belum diputuskan. Dan akhirnya
ia diberikan kepada PAN.
"Kita rasa ia sudah cukup bagus. Yang pentingnya PAN sudah diterima
sebagai sebahagian kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Antarapos,
hari ini.
Peruntukan kerusi PBT kepada PAN bagaimanapun dilakukan tanpa sedikitpun menjejaskan bahagian yang diperuntukkan kepada PAS.
Kerusi-kerusi yang diberikan kepada PAN adalah Sepang (2), Hulu
Selangor (2), Kuala Selangor (1), Subang (1), Kuala Langat (2) dan Sabak
Bernam (2).
Bukan itu sahaja, PAS juga mendapat penambahan beberapa kerusi
ahli-ahli majlis pada penggal baru yang akan bermula 15 Januari 2016
hingga Disember 2017, hasil daripada rundingan parti itu dengan PKR dan
DAP ketika mesyuarat exco yang diadakan pagi semalam.
PAS dalam dua kenyataan media, menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk
Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin
Othman bagaimanapun kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf PAN,
selain mendakwa pembahagian kerusi-kerusi itu dilakukan dalam keadaan
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam keadaan dilema.
Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mempertahankan keputusan
Azmin selain menambah PAS yang berada dalam dilema yang enggan menerima
kewujudan PAN.
"Yang dilema bukanlah MB, sebaliknya PAS yang masih nak menafikan untuk iktiraf perkara yang menjadi hakikat.
"MB membuat keputusan berdasarkan kepada satu kayu ukur, yang mana
beliau akui bahawa PAS, DAP dan PKR berada di dalam Pakatan Rakyat yang
memenangi pilihan raya
"Dan dalam masa sama turut mengiktiraf PAN adalah pecahan daripada PAS
yang berperanan memenangkan Pakatan Rakyat dahulu di Selangor," ujarnya.
Untuk rekod, PAN sebelum ini menuntut 34 kerusi PBT daripada kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan