BERNAMA
Datuk Seri Dr Zambry
Abdul Kadir m,elihat model bangunan MH Pinnacle yang dijangka siap dalam
masa dua tahun lagi. Foto Bernama
IPOH, Perak amnya dan Ipoh khususnya, bakal mempunyai mercu tanda baharu apabila projek MH Pinnacle, pembinaan bangunan tertinggi di sini, siap menjelang penghujung tahun 2018, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata projek pencakar langit 29
tingkat itu bukan sahaja merancakkan lagi pembangunan bandar raya itu,
malah mengubah persepsi yang melabel Ipoh sebagai ‘bandar raya mati’
selepas waktu senja.
“Ini adalah perancangan yang kita susun
sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk jadikan Perak negeri yang
maju berdasarkan kepada konsep Perak Aman Jaya,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek MH Pinnacle di
sini hari ini.
MH Pinnacle merupakan projek Perbadanan
Menteri Besar Perak (MB Inc) yang dibangunkan secara usaha sama dengan
pemaju tempatan Man Hoe Holdings Sdn Bhd.
Dibina
di kawasan seluas 1.06 hektar, projek itu apabila siap kelak akan
mempunyai dua blok bangunan dan menjadi bangunan pertama di Perak
menawarkan ruang pejabat bertaraf gred A iaitu berkonsepkan kaca.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Datuk
Aminuddin Hashim berkata MH Pinnacle juga akan mempunyai hotel dan unit
kediaman selain pusat membeli belah dikenali sebagai Pinnacle Mall.
Beliau berkata nilai pembangunan kasar (GDV) projek tersebut adalah sebanyak RM220 juta.
Katanya MH Pinnacle merupakan projek pembangunan kedua MB Inc di Ipoh selepas kejayaan membangunkan projek Ipoh Soho yang hampir siap dan turut melibatkan usaha sama dengan pihak swasta.
“Sebagai sebuah organisasi yang memegang
kepentingan kerajaan negeri dalam bidang strategik, amanat dan
tanggungjawab, MB Inc tidak terhad kepada menjana perolehan bagi
kerajaan negeri.
“Tetapi MB Inc turut menjadi pemangkin
kepada pembangunan sosio-ekonomi di Perak dengan menceburi projek-projek
yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan