KUANTAN: Semua pihak diminta tidak mencampuri siasatan yang sedang
dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu
perlombongan bauksit di negeri ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kebijaksanaan
SPRM dalam siasatan itu tidak wajar dipertikaikan dan kerajaan negeri
juga tidak mencampuri urusan siasatan berkenaan, kerana mahu penyiasatan
yang telus.
Adnan menambah peluang juga perlu diberikan kepada kerajaan negeri
untuk menyelesaikan masalah berkaitan bauksit kerana perkara ini turut
melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah tanggungjawab Kerajaan
Persekutuan.
"Agensi di bawah kerajaan negeri adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Masalah ini berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan.
"Sebab itu kita setuju tindakan Kerajaan Pesekutuan hendak bantu kerana
pelabuhan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis dan
Kastam di bawah Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media di
sini, hari ini.
Kerajaan negeri juga bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan
mengenakan tempoh moratorium selama tiga bulan bermula 15 Januari ini
bagi mengurangkan pencemaran selain mencari penyelesaian lebih baik yang
bersifat jangka panjang.
Adnan juga meminta pihak media agar tidak menyebar laporan tidak tepat berkaitan isu bauksit.
Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan lengkap merangkumi peranan
menteri besar dan jabatan terlibat dalam isu berkenaan tidak lama lagi.
"Saya bukan mahu main blaming game (mempersalahkan sesiapa), tapi saya
nampak apabila saya diam, semakin banyak laporan tidak adil.
"Buat masa ini saya memerhatikan laporan media, termasuk media sosial
sebelum mengeluarkan jawapan kepada perkara yang dibangkitkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan