GOPENG: Seorang pengguna vape di sini terpaksa menerima enam jahitan di
bibir selepas alat itu meletup ketika hendak disedut, Khamis lalu.
Berikutan kejadian itu, peniaga, Salleh Awang Hat, 33, serik untuk terus menggunakan vape.
"Saya dan saudara terdekat sudah tidak lagi menghisap vape selepas
kejadian vape meletup hingga terpaksa menerima enam jahitan, " kata
Salleh atau lebih dikenali sebagai Lan ketika ditemui di sini, petang
semalam.
Insiden letupan vape membabitkan Lan itu viral di laman sosial malah mengundang pelbagai kritikan.
Sehubungan itu, Lan minta supaya orang ramai tidak membuat andaian
sendiri mengenai kejadian yang menimpanya dan menasihatkan pengguna vape
supaya lebih berhati-hati meneliti komponen vape sebelum
menggunakannya.
Lan berkata, dalam kejadian itu kira-kira jam 9 malam Khamis lalu, dia
menghidupkan vape untuk disedut, tetapi ia meletup sebelum sampai ke
bibir.
"Vape itu meletup dan hujung vape (bahagian penyedut) itu tercabut
ibarat peluru ditembak tetapi mujur tidak kena pada muka. Hanya belerang
yang meletup dan terbakar di muka dan bibir saya.
"Nasib saya baik kerana belum sempat menyedutnya kalau tak ibarat
meletak pistol ke dalam mulut. Saya juga bersyukur kerana tidak buta,"
katanya.
Katanya, insiden itu terjadi selepas sehari menimang cahaya mata
pertama dan bersyukur kerana vape itu meletup sebelum dia menyedutnya.
Lan berkata, dia tidak membuat sebarang ubahsuai pada vape dan alat itu
bukan dibeli dengan harga murah yang menyebabkannya meletup.
"Saya sudah lama memakai vape itu memang tiada masalah sebelum ini.
Saya sendiri tidak tahu apa punca sebenar ia meletup tapi saya
difahamkan ia mungkin berpunca daripada bateri.
"Saya harap komen di laman sosial tidak membuat andaian sendiri dan
mengaibkan saya kerana ia memaparkan gambar saya yang turut dikenali
oleh saudara dan rakan. Saya harap orang ramai faham dengan situasi
saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon,
ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan
membabitkan kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan