Khamis, 26 November 2015

Umno buat pusingan ‘U’, media terpilih boleh buat liputan

MALAYSIAKINI


 


Umno hari ini membuat pusingan ‘U’ dengan setiausaha agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan Perhimpunan Agung Umno bulan depan bebas daripada sebarang sekatan liputan media.

Semalam, Tengku Adnan berkata liputan media akan dihadkan kerana portal berita dalam talian mempunyai kecenderungan untuk memutar-belitkan berita.

"Kerana laman-laman web dalam talian suka putar-belit..," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara itu.

Mengenai sama ada sekatan juga akan dikenakan semasa ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata: "Kami masih pertimbangkan sama ada untuk benarkannya (liputan) atau sebaliknya. Begitu juga dengan ucapan penggulungan.

“Kita tidak benarkan media berlegar merata-rata. Kita tidak akan pancar apa yang berlaku di dalam Dewan Merdeka kepada televisyen litar seperti sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Adnan menukar nadanya hari ini dengan berkata Umno membenarkan media membuat liputan pada perhimpunan yang bermula 8 Disember ini termasuk perbahasan perwakilan tanpa sebarang sekatan.

“Kita terima banyak maklum balas di seluruh negara. Kita dengar pendapat mereka dan buat keputusan untuk benarkan media membuat liputan seperti biasa," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Tengku Adnan juga dilaporkan berkata, ada beberapa media tertentu termasuk yang dihalang masuk ke PWTC sempena perhimpunan pada tahun lalu akan disekat dan ada yang akan dikenakan syarat lebih ketat.

"Liputan media berjalan seperti biasa. Cuma kita tidak mahu ada media yang putar belit fakta dan laporan. Perbuatan mereka itu akan membuatkan ada pihak yang terasa hati dan sensitif dengan laporan mereka,” katanya.

Sejak lima tahun lalu, Malaysiakini adalah antara media yang dilarang menghadiri perhimpunan itu.


Tiada ulasan: