Isnin, 16 November 2015

‘Saya tetap bersama Pas’ – Salleh Man

FREE MALAYSIA TODAY

Salleh menyatakan bahawa beliau tetap akan bersama Pas dan akan menjadi anggota parti itu seumur hidup


lim-guan-eng_salleh-man_600


GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man berkata, beliau akan terus berkhidmat untuk kerajaan Pulau Pinang dan penduduk kawasan berkenaan sebagai ADUN mewakili Pas.

Mohd Salleh berkata, beliau tetap akan terus bersama Pas, malah, merupakan anggota seumur hidup parti itu.

“Saya akan terus berkhidmat sebagai ADUN Permatang Pasir dengan semangat dan komitmen terbaik…InsyaAllah. Saya adalah ADUN Pas dan ahli kerajaan bersama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Semalam, Pas Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh berikutan kenyataannya yang jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui DAP dan bertentangan dengan pendirian Pas pusat.

Dalam kenyataan pada 2 November, Mohd Salleh mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ditanya mengenai pendirian Pas pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Mohd Salleh berkata: “Itu pendirian mereka. Saya tak boleh nak komen. Saya sebagai ADUN Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Permatang Pasir”.

Beliau berkata sehingga sekarang, hubungannya dengan Pas negeri dan pusat masih baik.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan sebagai anggota Pas, Mohd Salleh berkata: “Isu itu tidak pernah timbul. Saya tegaskan sekali lagi, saya tetap dengan Pas untuk selama-lamanya”.-Bernama

Tiada ulasan: