Jumaat, 20 November 2015

Mana ada orang peduli dengan DAPSY



OLEH: Izmil Amri


Sayap politik anak muda, tidak kira lah parti mana pun, sepatutnya dibubarkan.Mudahnya kerana tidak ada sesiapa yang peduli, kecuali mereka yang terlibat dalam gerakan politik di kalangan orang muda.

Barangkali dengan pengecualian terhadap si Khairy Jamaluddin yang menjadi kegilaan ramai wanita, ketua sayap pemuda parti lain hampir sahaja tidak dikenali langsung

Cuba kalau saya tanyakan kepada anda yang tidak berparti, siapa ketua pemuda Parti Amanah Negara?

Jawab anda mungkin, ‘Entah, bukannya aku peduli’. Bukan sahaja anda, saya pun tak kenal siapa orangnya si Sany Hamzan ini.

Jawapan ini benar serta terpakai bukan sahaja terhadap sayap pemuda Amanah, ia turut terpakai terhadap kesemua parti politik; terutamanya Partai Tindakan Demokratik, DAP.

Ya. Mana ada orang peduli dengan DAPSY. Malah, DAPSY itu singkatan kepada apa pun orang tak tahu.
Democratic Action Party Socialist Youth (DAPSY) adalah barangkali sayap pemuda tunggal sebelum muncul Angkata Muda Keadilan (AMK) yang memadam garis pemisah gender dalam gerakan politik anak muda.

Tapi ini kita tidak tahu, sebab ya lah; kita bukannya peduli.

Frasa “Socialist Youth” itu pula bersumber daripada gerakan pemuda sosialis antarabangsa, singkatnya IUSY (InternationalUnion of Socialist Youth), sayap pemuda Socialist International, jaringan 152 parti kiri seluruh dunia.

Ini pun kita tak tahu, sebab kita tak peduli.

Pada tahun ini, DAPSY akan mengadakan pemilihan jawatankuasa kerja nasionalnya. Dua calon bakal merebut jawatan ketua DAPSY. Calon pertama ialah Adun Canning, Saduara Wong Kah Woh, manakala calon ke-2 pula ialah Adun Damansara Utama, Saudari Yeo Bee Yin.

Perempuan? Calon ketua DAPSY?

‘Eh macam tu pun boleh?’ Ya lah, kenapa tidak?

Meminjam kata-kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, ‘Sekarang kan tahun 2015’.

Perempuan boleh mengepalai gerakan pemuda, sepertimana seorang pemuda boleh menjadi seorang feminis. Ini hal yang tidak perlu dirumitkan.

Sekiranya mahu dirumitkan, itu mungkin kerana merasa terganggu dan tergugat dengan kebolehan orang. Takkanlah kerana punya genitalia berbeza maka daya faham isu juga berbeza.

Barangkali itulah yang diperlukan untuk melawan kejayaan Khairy Jamaluddin dalam menampilkan imej belia batik jawa berseluar jeans yang “cool” dan layak menghiasi kulit majalah.

Mungkin itulah juga sebabnya kenapa ketua pemuda parti pembangkang selalu tewas apabila cuba berentap dengan Khairy sejak beliau mengepalai gerakan Pemuda Umno.

Bandingkan sahaja semua ketua pemuda DAP, PKR dan PAS sebelum ini dengan sosok Khairy Jamaluddin.

Hampir semuanya boroi, tidak kelihatan “cool” dan hampir langsung tidak kelihatan muda.

Shamsul Iskandar, Anthony Loke, Nasruddin Tantawi, Nik Nazmi, Nik Abduh dan Teok Kok Siong, semuanya tewas dengan pembawakan Khairy.

Politik anak muda ialah politik persona. Politik jenis ini melibatkan permainan gaya dan trend yang mesti boleh ngam dengan semangat zaman. Dalam gerakan Islam, sains politik “ngam dengan semangat zaman” ini disebut sebagai fiqh tawaqqu’, atau fiqh masa depan.

Kebetulan, persoalan fiqh masa depan yang mempertimbangkan zeitgeist semasa dan akan datang ini, menjadi inti slogan yang dibawa Saudari Yeo Bee Yin dalam “hashtag” #YouthsOccupyFuture nya.

Bee Yin barangkali tidak sedar, atau barangkali bekerja di bawah sedar tentang kebetulan ini.

Kalau saya boleh memilih ketua DAPSY, saya akan memilih bertentangan dengan norma; dan memilih seorang calon wanita.

Khairy mungkin selama ini selesa dengan kedudukannya di persada politik anak muda dengan imej batik jawa dan seluar jeans-nya kerana semua pesaingnya akan kelihatan hodoh memakai batik jawa ketat.
Cuba kalau keselesaannya ini digugat seorang pemimpin wanita, lulusan Cambridge pula.

Jangan salah faham, saya bukan sedang berkempen untuk Bee Yin. Perwakilan yang bakal mengundi bukannya baca pun tulisan ini. Saya boleh sahaja berkongsi apa intipati kempen Kah Woh, cumanya saya tak faham bahasa Mandarin.

Bagi saya kalau tidak ada perlawanan yang real antara ketua pemuda parti pembangkang dengan ketua pemuda Umno yang satu itu, baik bubar sajalah sayap pemuda semuanya.

Dan bagi saya mungkin Bee Yin lah jawapannya. Seperti babak Eowyn membunuh si Nazgul, Witch King of Angmar dalam filem Lord of The Rings: The Return of the King.

Si Nazgul tegas berkata, “Fool, no man can kill me!”

Eowyn kemudiannya membuka topi zirahnya, melepaskan rambutnya yang panjang mengurai lalu berkata, “I am no man!” dan membunuh si Nazgul jahanam.

Yeo Bee Yin lah Eowyn itu. Mungkin selepas itu baru orang akan peduli dengan DAPSY

Tiada ulasan: