Isnin, 16 November 2015

Kerajaan perpaduan tidak akan berulang, kata Hadi


Kerajaan perpaduan tidak akan berulang, kata Hadi
Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas Hi-Tea Konvensyen bertajuk 'Jelas Bersama Presiden' anjuran Dewan Muslimat Pas Selangor di SACC, Shah Alam, hari ini. Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan sejarah Pas menyertai parti Perikatan yang kemudiannya menjadi BN sejak zaman 70-an tidak akan berulang lagi.

Abdul Hadi menegaskan pihak yang menuduh Pas mahu bergabung dengan parti pemerintah itu sebenarnya buta sejarah.

"Senario itu tidak akan berulang lagi (Pas sertai BN), orang yang sebut itu (Datuk Husam Musa) tak baca sejarah dan tak lahir ke dunia lagi," katanya dalam sesi dialog dalam Hi-Tea Konvensyen bertajuk 'Jelas Bersama Presiden' di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pada Jumaat lalu bahawa Abdul Hadi didakwa mahu bekerjasama dengan Umno semasa krisis Menteri Besar Selangor, tahun lalu.

Bagaimanapun Abdul Hadi juga berkata, Pas konsisten bekerjasama dengan semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam usaha untuk menyelamatkan negara.

"Pendekatan terkini kita ialah menjadi pembangkang yang menasihat, yang bekerjasama dengan perkara baik dan menentang perkara tak baik, ini sikap kita.

"Kita menentang (mereka) yang nak meruntuhkan negara, sama ada kerajaan atau pembangkang, kita lawan semua," ujarnya.

Ketika ditanya tentang dakwaan Husam mengenai kerajaan perpaduan di Selangor, Abdul Hadi bagaimanapun menyifatkan Adun Salor itu sebagai ketinggalan zaman.

"Kerajaan perpaduan itu bukan masuk BN, tapi semua parti dalam kerajaan, itu kerajaan perpaduan, yang pernah diusahakan pada 2008, tapi oleh kerana banyak pihak tak setuju, tak jadi laa.

"Kerajaan perpaduan itu semua parti dalam kerajaan, bukan masuk BN, jangan putar belit, BN pun dalam kerajaan, DAP dalam kerajaan, PKR dalam kerajaan, tak ada pembangkang," katanya lagi.


Tiada ulasan: