KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan
Datuk Ahmad Yaakob menyifatkan hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) yang
mahu mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri PAS itu pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang umpama 'bermimpi di siang hari'.
Beliau yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas kematian
bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata
seeloknya parti itu 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum membuat
kenyataan sedemikian.
"Ia begini sebagai mana-mana parti politik apabila ia sudah rasmi
sebagai parti politik ia mahu mengecapi kemenangan, mana-mana parti pun.
"Tapi kenyataannya bagi Kelantan ini saya yakin rakyat amat matang
dalam berpolitik, dia akan lihat ke arah mana hala tuju dan apa
motifnya," katanya kepada Antarapos.
Menurut Ahmad, pihaknya yakin rakyat mempunyai kematangan dalam membuat
penilaian di mana Amanah dilihat masih baru sebagai parti politik yang
dibentuk selepas muktamar tahunan PAS yang dianggotai bekas-bekas
pemimpin parti Islam itu yang kecewa.
"Kalaulah dia (Amanah) nak perjuangkan Islam sebagai mana tuntutan
daripada dakwah, saya rasa PASlah yang sepatutnya berjuang pada hari
ini.
"Kalau berasaskan kepada isu semasa saya rasa PKR telah pun perjuangkan
isu semasa dan ini menjadi perhatian rakyat Kelantan walaupun kita tahu
di Kelantan ini realitinya politik terbuka di mana rakyat akan lihat
apa matlamatnya dan tujuan," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyebut
parti itu bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada
PRU14.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata langkah itu
diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Nik
Aziz.
"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau
sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu
(untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas
mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di Pasir Mas kelmarin.
Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada
penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara
lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan
PKR.
Bukan mudah untuk Amanah ambil alih pentadbiran PAS di Kelantan
Mengulas lanjut Timbalan Mursyidul Am PAS ini, percubaan Amanah yang
menampilkan imej Islam adalah sebuah pendekatan yang telah digerakkan
parti berteraskan Islam itu menambah rakyat Kelantan tidak akan
terpengaruh dengan gerakan parti baru itu.
"Nak mengambil alih itu saya rasa bukan semudah kita nak pisahkan sesuatu barang ke satu tempat lain.
"Di mana orang Kelantan ini sudah ada latarbelakangnya mereka matang
dalam berpolitik dan politik itu mesti politik yang ke arah politik
Islam, yang dilihat amalkan Islam dan yang dilihat apakah masa depan
Islam," katanya.
Menurut Ahmad lagi, PAS Kelantan bersedia berhadapan dengan apa jua
kemungkinan pada PRU14 nanti dan berkeyakinan corak pentadbiran Islam
yang diamalkan akan terus disokong serta didokong rakyat khususnya
pengundi di negeri berkenaan.
"Jadi saya rasa tidak semudah yang disebut saudara Mat Sabu, tidak
semudah itu tetapi dia boleh sebutlah sebagai sebuah parti politik baru
untuk menjadi pendekatan dia.
"Bagi saya bukan satu perkara mudahlah sebab saya yakin dengan dasar
membangun bersama Islam yang telah kita buat selama ini sebagai
pendekatan kita dan rakyat melihat serta merasa.
"Amanah ini sebagai sebuah parti baru yang mana rakyat Kelantan memang
akan lihat ke mana nak pergi, apa tujuannya, pada dasarnya dan
sebagainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan