shahbudindotcom
Walaupun
kita mungkin dapat memahami mengapa bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa
sanggup bersumpah mentalak isterinya bagi membuktikan kebenaran
dakwaannya mengenai penubuhan kerajaan campuran parti itu dengan UMNO
melalui usaha Hadi Awang sendiri, tindakan beliau tetap merupakan
sesuatu yang tidak sewajarnya.
Kalau
pun ingin menunjukkan dakwaannya itu bukan main-main dan seolah-olah
Hadi Awang mengkhianati perjuangan Pas, apakah bersumpah melibatkan
isteri sendiri merupakan sesuatu yang seharusnya terus dilakukan?
Kenapa asyik-asyik isteri yang dijadikan gadaian dan galang ganti untuk menunjukkan kehebatan perjuangan?
Bukankah
sebagai pemimpin progresif dalam Pas, Husam sepatutnya cuba
menghapuskan budaya sumpah sebegitu rupa memandangkan bekas pemimpin
kumpulan itu yang kini menyertai Amanah sudah membuang jauh dan tidak
mengiktiraf amalan itu?
Tidak adakah perkara lain, selain isteri sendiri yang boleh dijadikan sandaran jika ingin bersumpah berkaitan politik?
Kenapa
tidak bersumpah seperti menyerahkan sebahagian harta atau kereta kepada
masjid, rumah kebajikan atau seumpamanya yang jelas hanya membabitkan
diri sendiri saja?
Sebelum
ini, semua wakil rakyat Pas diwajibkan bersumpah baiah ketika
bertanding dalam pilihanraya dengan di Kelantan paling menjadi perbualan
kerana menjadikan syarat akan menceraikan isteri masing-masing dengan
talak tiga sekiranya meninggalkan perjuangan parti itu atau menyertai
parti lain.
Isu
baiah ini secara umumnya telah diperkatakan secara meluas dalam
masyarakat dan rata-rata menganggap ianya tidak wajar sama sekali dan
seolah-olah menjadikan isteri masing-masing sebagai barang gadaian dalam
perjuangan sedangkan mereka tidak terlibat atau tidak seharusnya
terbeban memikul keputusan politik yang dibuat oleh suami.
Dalam
isu perpecahan Pas dengan Amanah baru-baru ini, isu baiah ini timbul
kembali berikutan beberapa pemimpin Pas tetap bertegas untuk menyertai
Amanah sebagai wadah baru perjuangan mereka.
Pemimpin
Pas di luar Kelantan yang berbaiah seperti haram menikmati gaji dan
elaun jika meninggalkan parti itu telah pun menebusnya dengan antaranya
memberi makan kepada anak-anak yatim dan sebagainya, manakala mereka di
Kelantan yang terlibat dengan baiah talak tiga isteri pula,
masing-masing tampil dengan mengatakan ianya tidak semestinya dipatuhi.
Antaranya
dengan bersandarkan hujah bahawa baiah itu dilakukan tidak sepenuhnya
dengan kerelaan, mengatakan ada toleransi boleh memilih yang lebih
ringan atau kurang mudaratnya daripada talak tiga itu serta ada juga
yang menyerahkannya kepada Allah yang lebih mengetahui untuk menentukan
segala-galanya.
Kini
isu baiah dalam Pas boleh dikatakan sudah berlalu. Yang kekal dengan
Pas mungkin marah dan mengata macam-macam terhadap mereka yang
melanggarnya untuk menyertai Amanah, tetapi yang ingin keluar Pas tetap
juga berbuat demikian bersandarkan hujah dan keyakinan masing-masing.
Maka,
apabila Husam membangkitkan kembali perkara itu dengan cuba menjadikan
talak isteri sebagai gadaian sumpahnya, apakah beliau sebenarnya
bertujuan mahu menghidupsegarkan kembali amalan tersebut?
Tidak
bolehkah Husam, untuk meyakinkan rakyat mengenai dakwaan kerajaan
campuran UMNO dengan Pas yang melibatkan Hadi Awang itu jika ia dibuat
tanpa melibatkan sumpah, apatah lagi dengan menjadikan isteri sendiri
sebagai tukar gantinya?
Tidak bolehkah sekadar ditampilkan bukti-bukti sahaja untuk menunjukkan benarnya sesuatu dakwaan itu?
Lebih
dari itu, adakah tindakan terbaru Husam ini bermaksud mahu mencabar
Hadi Awang agar berani bersumpah mentalak isterinya juga jika ingin
menafikan dakwaan kerajaan campuran itu?
Tetapi
yang tidak baiknya, mungkin ada pula yang berandaian, kalau baiah talak
tiga terhadap isteri oleh beberapa pemimpin Pas sebelum ini pun boleh
diengkari, apakah ini bermakna sumpah talak isteri oleh Husam ini juga
boleh tidak bernilai apa-apa akhirnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan