Selasa, 24 November 2015

DAP gila meroyan – Pemuda Pas

 
Parti Islam itu menuduh DAP mencari pelbagai alasan untuk memburukkannya kerana dendam lama termasuk percanggahan dalam isu pemilihan jawatan Menteri Besar Selangor.


Ir-Khairil-Nizam-Khirudin


PETALING JAYA: Kegagalan menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadikan bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR) DAP, meroyan.

Dakwaan itu dibuat Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Katanya selepas tujuannya tidak kesampaian, parti perkauman itu cuba mencari alasan lain untuk menyerang pucuk pimpinan parti itu termasuk melabel Pas bekerjasama dengan UMNO.

“Memang pelik bila DAP lebih bersungguh mahu Pas bergabung dengan UMNO berbanding orang Pas sendiri, mereka pula yang lebih ghairah bermimpi hingga melupakan tanggungjawab mereka dalam menguruskan amanah rakyat dan parti mereka.

“PAS amat jelas dan faham akan tahap meroyan Guan Eng yang dilihat masih kecewa kerana impiannya untuk melihat Presiden Pas dijatuhkan dalam muktamar lalu melalui rakan-rakan politiknya dalam Parti Amanah Negara sekarang telah menemui kegagalan,” katanya yang dipetik ismaweb.

Jelas Khairil Nizam lagi, serangan itu turut didorong dendam lama DAP terhadap Pas berhubung isu pemilihan Menteri Besar Selangor.

“Kini mereka mahu membuang Pas di Pulau Pinang dan Selangor. Sepanjang tujuh tahun difitnah, Pas kekal bersama mempertahankan kerajaan Selangor, berjuang mempertahankan kerajaan Perak yang digulingkan dan menyokong dasar-dasar positif kerajaan Pulau Pinang.

“Namun semua itu mereka padamkan daripada sejarah hanya kerana dendam selepas Pas menolak calon Menteri Besar Selangor pilihan DAP dan PKR,” katanya.

Dalam kenyataan yang dipetik portal itu Khairil Nizam turut mencabar DAP supaya bersemuka dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

“Marilah bertanding demi melunaskan dendam kesumat. Penyakit orang gila seperti ini yang hanya mementingkan diri sendiri hingga membelakangkan kehendak rakyat seperti dalam isu menteri besar Selangor bakal memberikan kerugian kepada diri mereka sendiri dan secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada UMNO dan BN.

“DAP jelas tiada isu nak dibangkitkan untuk menyerang Pas melainkan gosip Pas bergabung dengan UMNO,” katanya.

Tiada ulasan: