Pendedahan
pertama - Empat individu dalam Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (
YaPEIM), sebuah yayasan naungan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap
orang miskin dan anak-anak yatim, didakwa menerima pendapatan mencecah
hampir RM2 juta setahun.
Mereka
didakwa menerima gaji dan elaun yang tinggi itu melalui pelbagai
jawatan dalam anak syarikat yang berada di bawah YaPEIM. Lebih
menggerunkan, suami dan anak lelaki salah seorang "orang besar" dalam
YaPEIM itu juga turut menerima habuan lumayan melalui pelbagai jawatan
yang disandangnya.
Pengerusi
YaPEIM didakwa menerima pendapatan bulanan berjumlah RM73,000.00
sebulan manakala timbalan pengerusinya bersama suami dan anak lelakinya
dipercayai mengumpul pendapatan bulanan sebanyak RM81,700.00
Salah seorang daripada "orang besar" YaPEIM terbabit adalah pemimpin Pergerakan Wanita UMNO di Kelantan.
Pendedahan
kedua - Lawatan seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap YaPEIM
ke Amerika Syarikat pada 2014 yang didakwa menelan kos keseluruhan
sebanyak RM410,978.00, juga dengan menggunakan wang yayasan tersebut.
Lawatan
menteri yang turut disertai oleh isterinya itu turut diselitkan dengan
acara membeli belah, bermain golf, makan malam dan pembelian cenderahati
yang juga dibayar oleh YaPEIM.
Melalui invois yang diperolehi menunjukkan tiket pergi balik menteri terbabit dan isterinya saja berjumlah RM274,493.00.
Kedua-kedua pendedahan ini dibuat oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW.
Sehingga ini, semua yang didakwa dalam pendedahan NOW itu, sama ada menteri terbabit atau kedua-dua "orang besar" dalam YaPEIM itu, belum lagi memberi sebarang ulasan atau penjelasan mengenainya.
Tetapi
isu ini telah menjadi perbualan hangat di seluruh negara dan jika betul
semua pendedahan NOW itu, ia benar-benar memalukan agama, bangsa dan
negara kita.
Ini
kerana mereka yang didakwa itu bukan saja bergelar pemimpin, tetapi
juga kerap melaungkan perjuangan membela Melayu dan kalimah-kalimah suci
Al Quran turut jarang terlepas daripada pengucapan.
Terlihat juga kadang-kadang antaranya tampil dengan jubah, kopiah dan pakaian sopan menutup aurat.
Tetapi, kenapa nikmat duit dan dunia juga yang digilai?
Inikah rupa dan perangai mereka yang bergelar pemimpin yang kita ada?
Orang miskin, anak yatim dan mereka yang dibela tak seberapa dapatnya, tapi yang sedia kaya tanpa segan-segan mengaut labanya.
Sudah
masuk hari ketiga pendedahan ini dibuat, kenapa pihak yang berkenaan
masih berdiam diri? (Terbaru - petang tadi Jamil Khir sudah tampil
dengan penjelasannya dan menuntut permohonan maaf daripada NOW tetapi
tidak menafikan pemergian dan perbelanjaannya ke Amerika Syarikat itu.
Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi YaPEIM belum tampil lagi
dengan penjelasan mereka).
Kenapa
lambat sangat memberi jawapan jika pendedahan NOW itu tidak benar dan
berupa fitnah belaka, bahkan boleh saja dibuat laporan polis atau
dihantar surat saman untuk membersihkan nama?
Tapi kenapa semuanya tidak dilakukan?
Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan