MALAYSIAKINI
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dianggap calon paling
layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh,
kata Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli.
Beliau berkata Dr Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang, dianggap sebagai
calon tepat berdasarkan kepimpinan dan pengalaman beliau yang pernah
menjadi anggota Parlimen kawasan itu.
"Saya menyokong penuh, pastinya kita akan melalui proses di peringkat
Keadilan (PKR) dan juga peringkat pakatan rakyat seperti biasa, sudah
tentu ada beberapa calon yang akan dipertimbangkan.
"Tetapi jika dilihat dari segi kepimpinan dan pengalamannya, Kak Wan (Dr
Wan Azizah) adalah paling layak," katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen semalam.
Wan Azizah dilaporkan sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan
akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Permatang Pauh sekiranya
diperlukan.
Kelmarin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan
Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen
Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarganya.
Justeru, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani
Salleh berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen
Permatang Pauh, Rabu depan (8 April).
Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan, berkata mesyuarat menentukan
calon PRK itu akan dibuat sebaik sahaja pengumuman rasmi SPR.
Pada 2008, Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh
bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi
tersebut.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 24 Februari lepas
dilaporkan berkata isu penggantungan presiden PKR itu tidak timbul lagi
kerana tempoh tersebut hanya berkuat kuasa selama lima tahun.
Dalam pilihan raya umum 2013, Anwar mengekalkan kubu kuatnya di
Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan
majoriti 11,721 undi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan