MALAYSIAKINI
Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata calon Barisan Nasional
(BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin
tidak harus mengambil hati dengan ejekan pembangkang mengenai calon
kitar semula.
Sebagai seorang yang pernah digelar sebagai calon kitar semula oleh
pembangkang pada PRK Parlimen Teluk Intan, April tahun lepas, Mah
berkata apa yang penting ialah kesediaan berkhidmat kepada masyarakat
terutama demi kebaikan masyarakat.
"Dulu mereka (pembangkang) kata saya calon kitar semula, tetapi itu
bukan menjadi masalah kerana walaupun saya sudah tua, tapi saya masih
ada tenaga dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Dan akhirnya
saya menang," kata beliau.
Mah ditanya oleh pemberita mengenai pengalamannya digelar sebagai calon
kitar semula selepas menghadiri majlis dialog dengan Dewan Perniagaan
dan Perindustrian Tionghua Daerah Rompin di Rompin semalam.
Walaupun dicemuh oleh pembangkang, Mah yang ketika itu berusia 53 tahun
berupaya menewaskan peguam muda Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dan merampas
kembali kerusi itu dari DAP, yang ditawan DAP pada pilihan raya umum
2008.
Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata umur calon
bukan menjadi isu besar tetapi apa yang lebih penting ialah "hati dan
semangat calon masih bertenaga."
Hasan, 62, bekas ADUN Tioman dan Bukit Ibam, menghadapi pertandingan
satu lawan satu dengan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40, dalam
pilihan raya kecil pada 5 Mei ini.
Mah yakin bahawa BN akan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya
kecil itu jika semua parti komponen bekerjasama bagi memastikan
kemenangan dan juga yakin Hasan akan meneruskan legasi Allahyarham Tan
Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina di
kawasan itu.
Mengenai kempen Gerakan di sini, Mah berkata sayap pemudanya telah
menjalankan kempen secara agresif untuk memancing undi pengundi muda
daripada kaum Cina melalui media sosial dan kempen secara bersemuka.
PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis
terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April
lepas
Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi kaum Cina yang meliputi tiga peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Parlimen itu.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan