Jumaat, 3 April 2015

Rafizi: Wan Azizah calon paling layak di Pmtg Pauh

MALAYSIAKINI


 


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dianggap calon paling layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, kata Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli.

Beliau berkata Dr Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang, dianggap sebagai calon tepat berdasarkan kepimpinan dan pengalaman beliau yang pernah menjadi anggota Parlimen kawasan itu.

"Saya menyokong penuh, pastinya kita akan melalui proses di peringkat Keadilan (PKR) dan juga peringkat pakatan rakyat seperti biasa, sudah tentu ada beberapa calon yang akan dipertimbangkan.

"Tetapi jika dilihat dari segi kepimpinan dan pengalamannya, Kak Wan (Dr Wan Azizah) adalah paling layak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen  semalam.

Wan Azizah dilaporkan sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Permatang Pauh sekiranya diperlukan.

Kelmarin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarganya.

Justeru, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh, Rabu depan (8 April).

Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan, berkata mesyuarat menentukan calon PRK itu akan dibuat sebaik sahaja pengumuman rasmi SPR.

Pada 2008, Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi tersebut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 24 Februari lepas dilaporkan berkata isu penggantungan presiden PKR itu tidak timbul lagi kerana tempoh tersebut hanya berkuat kuasa selama lima tahun.

Dalam pilihan raya umum 2013, Anwar mengekalkan kubu kuatnya di Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. - Bernama


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.