Jumaat, 3 April 2015

PERKASA mahu RCI siasat 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menyarankan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal melibatkan kewangan firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yakin bahawa siasatan oleh suruhanjaya diraja itu akan dapat membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Hanya dengan pendekatan penyiasatan bermandat tanpa had Suruhanjaya Diraja akan bantu membersihkan nama baik Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya.

Dalam sidang media di Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini, Ibrahim  berkata beliau bimbang kerana Najib dan Rosmah “dikaitkan dengan 1MDB oleh anasir media yang tidak bertanggungjawab”.

Sungguhpun Ibrahim menyalahkan media dan bersungguh-sungguh untuk menyucikan nama Najib dan Rosmah, perkara itu ditimbulkan sendiri oleh Mahathir.

Dalam sidang medianya hari ini, Ibrahim juga pasrah dan reda dengan segala hal yang dibangkitkan Mahathir dalam serangan ke atas Najib.

Dalam tulisannya di blog chedet.cc hari ini, Mahathir antara lainnya menyatakan kekecewaannya kerana Najib masih tidak menjawab mengenai persoalan yang dibangkitkan mengenai 1MDB.

Antara lainnya, persoalan mengenai kaitan jutawan muda Jho Low dan juga anak tiri Najib, Riza Aziz dengan 1MDB, katanya.

Riza merupakan anak Rosmah melalui perkahwinan sebelumnya.

Mahathir mempersoalkan bagaimana Riza mendapat wang bagi membeli kondominium di New York serta dari mana Riza mendapat wang dalam filem 'The Wolf of Wall Street'.

Tanpa berselindung, Mahathir juga berkata, 1MDB akan menjadi punca kekalahan BN dalam pilihan raya umum akan datang.


Tiada ulasan: